Nissan Qashqai e-Power Tempuh 1,300KM Dengan Satu Tangki Petrol

oleh Qalif Latif|
Nissan sekali lagi membuktikan keupayaan teknologi hibrid e-Power apabila sebuah Nissan Qashqai e-Power berjaya menamatkan perjalanan sejauh lebih 1,300 kilometer mengelilingi pulau Tasmania, Australia tanpa perlu mengisi minyak semula.

Pencapaian itu menjadi bukti kepada kecekapan generasi terkini sistem e-Power yang menggabungkan pengalaman pemanduan seperti kenderaan elektrik (EV) dengan kemudahan mengisi petrol seperti kereta konvensional.

Nissan

Tidak seperti sistem hibrid biasa, e-Power menggunakan motor elektrik sebagai satu-satunya sumber pemacu roda. Enjin petrol tiga silinder 1.5 liter turbo pula hanya berfungsi sebagai penjana elektrik untuk mengecas bateri dan membekalkan tenaga kepada motor elektrik.

Ini membolehkan pemandu menikmati pecutan yang lebih lancar, responsif dan senyap seperti sebuah EV tanpa perlu mengecas menggunakan sumber elektrik luaran.

Lebih 1,300KM Tanpa Isi Minyak

Bagi membuktikan kecekapan teknologi tersebut dalam situasi sebenar, Nissan membawa sebuah Qashqai e-Power mengelilingi Pulau Tasmania sejauh lebih 1,300 km dengan penutup tangki minyak ditampal bagi memastikan tiada pengisian bahan api dilakukan sepanjang perjalanan.

Sepanjang pemanduan itu, Qashqai e-Power mencatatkan penggunaan bahan api purata sebanyak 4.5 liter bagi setiap 100 km.

Nissan

Pernah Catat Rekod Lebih Baik Di United Kingdom

Sebelum ini, Nissan turut menjalankan cabaran serupa di United Kingdom dengan memandu Qashqai e-Power dari Land's End di England hingga ke John O'Groats di Scotland, iaitu perjalanan merentasi keseluruhan Britain.

Dalam cabaran tersebut, SUV hibrid itu berjaya menempuh jarak 1,347 km menggunakan satu tangki petrol sahaja dengan penggunaan bahan api purata serendah 3.76 liter bagi setiap 100 km.

Lebih mengagumkan, paparan meter masih menunjukkan baki jarak perjalanan sekitar 160 km ketika kenderaan itu tiba di destinasi.

Teknologi e-Power Terus Dipertingkat

Menurut Naib Presiden Kanan Penyelidikan dan Pembangunan Nissan Eropah, David Moss, kedua-dua perjalanan tersebut membuktikan keupayaan konsisten teknologi e-Power dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Nissan

Katanya, sama ada di lebuh raya United Kingdom atau laluan yang lebih mencabar di Tasmania, Qashqai e-Power tetap menawarkan gabungan kecekapan bahan api, keselesaan dan pengalaman pemanduan seperti EV.

Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi e-Power merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Nissan untuk mempertingkatkan SUV hibrid menerusi teknologi yang dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar pelanggan.

Nissan

 

Turut Ditawarkan Di Malaysia

Di Malaysia, pengguna boleh merasai sendiri teknologi e-Power menerusi Nissan Serena e-Power C28 dan juga Nissan Kicks e-Power. Berbeza dengan hibrid konvensional, kedua-dua model ini menggunakan motor elektrik sebagai satu-satunya sumber kuasa untuk memacu roda, manakala enjin petrol bertindak sebagai generator bagi mengecas bateri.

Hasilnya, pemandu memperoleh karakter pemanduan yang lebih hampir kepada EV tanpa perlu mengecas menggunakan plug-in, sambil mengekalkan kemudahan mengisi petrol seperti biasa.

Bagaimana e-Power Berfungsi?

Secara ringkas, sistem e-Power beroperasi berbeza daripada kebanyakan model hibrid lain di pasaran.

  • Motor elektrik menjadi satu-satunya unit yang memacu kenderaan.
  • Enjin petrol tidak memacu roda secara langsung.
  • Enjin berfungsi sebagai generator untuk menghasilkan tenaga elektrik.
  • Bateri sentiasa dicas ketika pemanduan.
  • Tidak memerlukan pengecasan menggunakan sumber elektrik luaran.

Pendekatan ini membolehkan Nissan menawarkan pengalaman pemanduan hampir menyerupai EV sambil mengekalkan fleksibiliti sebuah kenderaan berenjin petrol, terutamanya bagi pemandu yang kerap melakukan perjalanan jarak jauh.

Sumber: completecar.ie