Kuro bukan baharu, Nissan menggunakannya pada edisi istimewa Juke tahun 2011 lagi. Satu idea yang baik untuk pengeluar tempatan menggunakan bahasa kebangsaan.
Edisi terbaru ini adalah susulan kepada Qashqai e-POWER yang diperkenalkan pada tahun lalu.
Rangkaian kuasa e-POWER memang canggih dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) 1.5 liter turbo tiga silinder berfungsi sebagai penjana dan bukan menggerakkan roda.
Enjin dengan 156 kuasa kuda (hp) itu membekalkan tenaga kepada motor elektrik yang kemudian memacu roda. Separuh ICE dan separuh kenderaan elektrik (EV).
Secara ringkas, enjin petrol menjana elektrik dan kemudian menghantarnya kepada penyongsang (inverter) untuk menguasakan pek bateri dan motor elektrik.
Pada kelajuan rendah dan sederhana, enjin ICE tidak beroperasi dan kereta digerakkan tenaga elektrik dari bateri.
Kebaikan e-POWER ialah ialah pengguna tidak perlu khuatir tentang jarak (range anxiety) kerana Qashqai tidak perlu dicas melainkan isian petrol seperti biasa.
Qashai Kuro Edition yang ditawarkan di UK ini diasaskan dari varian N-Connecta dengan bumbung kaca dan rim aloi 18 inci warna hitam kilat.
Turut dilengkapi pelapik alang pintu bercahaya dan pad pengecas tanpa wayar.
Qashqai Kuro istimewa dengan tiga pilihan warna dua tona iaitu bumbung hitam; badan Storm White atau Ceramic Grey dan bumbung kelabu; badan Pearl Black.
Untuk lebih kelengkapan, pelanggan ditawarkan Tech Assist Pack dengan tambahan harga 1,030 pound (RM5,932).
Pek itu terdiri daripada papar pandu (HUD), lampu LED penuh dan lampu tinggi boleh suai dan ProPILOT Assist dengan Navi-Link.
Qashqai sudah lama di pasaran atau sejak 2007 lagi dan varian terbaru ini dijual pada harga 36,945 pound (RM212,645).
Penulis: Muhammad Md Tajudin