Nissan Qashqai 2021 - crossover paling laku di Eropah kini memasuki generasi baharu

oleh Mohamad Hanif|
Crossover paling laku di Eropah, Nissan Qashqai (ya tuhan, susahnya nak sebut!) kini telah pun memasuki generasi ketiga dan ia hadir dengan reka bentuk yang lebih agresif serta penawaran trenkuasa hibrid untuk pasaran tersebut.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Dari segi perbandingan dimensi, Nissan Qashqai ini sebenarnya duduk sama segmen dengan Nissan X-Trail disebabkan penggunaan platform CMF-C, akan tetapi ukuran Qashqai adalah lebih kecil berbanding X-Trail.

Untuk generasi baharu ini, Nissan Qashqai adalah sedikit besar berbanding model terdahulu, dengan dimensi panjang 4,405 mm, lebar 1,832 mm dan tinggi 1,620 mm sementara jarak antara roda pula bertambah 20 mm kepada 2,666 mm.

 


Tidak seperti X-Trail 2021 (atau Nissan Rogue 2021), rekaan Nissan Qashqai pula ternyata lebih agresif, dimulakan dengan rekaan lampu nyalaan siang berbentuk boomerang, bampar hadapan yang lebih bersegi, lampu utama matrix LED serta gril V-Motion yang lebih besar.

Sementara rekaan grafik lampu belakang pula dilihat menyamai rekaan yang terdapat pada Nissan Rogue, dengan ukuran yang lebih nipis.

 


Memasuki ruang kabin, pemandu akan dihidangkan dengan skrin digital berdefinisi tinggi berukuran 12.3 inci, skrin infotainmen HD bersaiz 9.0 inci yang menyokong perkhidmatan NissanConnect, Android Auto, Apple CarPlay nirwayar, sambungan Wi-Fi, serta skrin paparan head-up 10.8 inci - terbesar di dalam segmennya!

Penggunaan platform CMF-C ini memberikan kelebihan dari segi praktikaliti, di mana ruang kargo kini lebih besar 50 liter berbanding model terdahulu disebabkan lantai kargo yang lebih rendah 20 mm.

Selain daripada itu, pintu belakang boleh dibuka sehingga 90 darjah menawarkan akses yang mudah untuk pemilik melayan anak-anak kecil di dalam tempat duduk kanak-kanak.

 


Untuk pasaran Eropah, tiada lagi enjin pembakaran dalaman konvensional ditawarkan, sebaliknya keseluruhan varian Qashqai didatangkan dengan trenkuasa hibrid.

Versi paling asas didatangkan dengan enjin mild-hybrid 1.3 liter turbo dengan dua output kuasa - 138 kuasa kuda dan 156 kuasa kuda - serta padanan transmisi manual enam kelajuan atau CVT Xtronic.

 


Selain daripada itu, Qashqai juga ditawarkan dengan trenkuasa e-Power, terdiri daripada motor elektrik berkuasa 187 hp yang memperoleh kuasa daripada enjin 1.5 liter yang menawarkan pemanduan seakan sebuah kenderaan elektrik sejati.

Ia juga didatangkan dengan ciri e-Pedal yang membolehkan Qashqai e-Power ini dipandu dengan menggunakan pedal tunggal seperti Nissan LEAF.

Aspek keselamatan Qashqai generasi baharu ini dipertingkatkan dengan sistem bantuan pemandu ProPILOT yang mampu 'berkomunikasi' dengan radar titik buta untuk pembetulan input stereng, pengecaman papan tanda dan menggunakan data sistem navigasi untuk mengawal kelajuan kenderaan dengan sepatutnya.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Dilihat dari dekat, corak jeriji berbentuk koma dan diselaputi warna hitam kilat. Koma atau…
Berita Global
  Kuro bukan baharu, Nissan menggunakannya pada edisi istimewa Juke tahun 2011 lagi. Satu idea…
Berita Global
  Pencapaian tersebut diraikan dengan sebuah Qashqai dalam balutan emas dan juga penghormatan…