'Nissan Proto Z 100 kali lebih baik berbanding GR Supra!' - Smokey Nagata

oleh Mohamad Hanif|
Ketika Nissan pertama kali membuka tirai memperlihatkan secara rasmi kereta sports pacuan roda belakang generasi baharu Proto Z, acara tersebut sebenarnya turut mencuri tumpuan pelbagai pihak, terutama para peminat Nissan itu sendiri.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dan salah seorang daripadanya adalah pengasas syarikat penala Top Secret, Smokey Nagata atau nama sebenarnya Kazuhiko Nagata.

Walaupun syarikat Top Secret lebih dikenali sebagai pakar penala GT-R, Smokey Nagata sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang dengan Nissan Z, terutama generasi Z33.

Malah, Nissan Fairlady Z Z33 Top Secret turut menyertai acara perlumbaan D1GP selama tiga tahun berturut-turut, setelah empat tahun bertarung nasib menggunakan jentera Silvia S14 dan S15.

 


Ketika memberikan komen berkenaan Nissan Proto Z, Smokey Nagata menjawab, "(Nissan Proto Z) jauh lebih cool berbanding apa yang saya bayangkan, dan Nissan sememangnya terbaik dalam menghasilkan kereta sports.

"Mereka mengekalkan identiti garis hidung yang panjang, serta stail short deck, dan secara peribadi, saya rasa (Nissan Proto Z) 100 kali jauh lebih baik berbanding model GR Supra!"

Tambah beliau, "tidak seperti model konsep, model prototaip sebenarnya merupakan versi yang paling hampir untuk dikomersialkan, dan ini merupakan satu taktik yang baik daripada Nissan.

"Daripada perspektif sebagai seorang penala, saya boleh lihat banyak peluang untuk mentransformasikan kereta ini.

 


Ketika pengenalan model Proto Z, Nissan hanya mengumumkan nadi bentangan V6 turbo berkembar (VR30DETT) yang digandingkan dengan transmisi manual yang mampu menghasilkan angka output sehingga 400 kuasa kuda.

Secara tidak langsung, Nissan Proto Z merupakan jentera pacuan roda belakang dengan enjin turbo dan transmisi manual yang pertama diperlihatkan selepas Nissan Silvia S15.

Ketika ditanya, adakah Smokey Nagata akan membeli Nissan Proto Z (Nissan 400Z)?

Jawapan beliau: "Ya!".

Sumber: Option Tokyo