
Nissan telah pun mempunyai teknologi dan untuk kajian ini menggunakan teknologi kawalan motor yang dibangunkan pada EV LEAF.
Nissan juga menggunakan teknologi kawalan semua roda (AWD) e-4ORCE yang dilengkapi pada crossover EV Ariya.
Teknologi Nissan e-4ORCE
Teknologi e-4ORCE sangat membantu dalam meningkatkan prestasi kenderaan jelajah bulan bagi mengharungi permukaan bulan yang mencabar.
Asas kepada teknologi ini lahir apabila Nissan mahu pelanggan memandu kenderaan mereka dengan stabil dan lebih berkeyakinan.
Teknologi e-4ORCE membolehkan keempat-empat roda dikawal secara bebas atau berasingan seterusnya memberikan lebih keyakinan kepada pemandu di dalam pelbagai keadaan.

Melalui penyelidikan secara bersama dengan JAXA, Nissan telah mempertingkatkan prestasi teknologi e-4ORCE bagi mengharungi permukaan berpasir dan keadaan mencabar yang lain.
Seperti biasa apabila kereta dipandu di permukaan berpasir, roda akan berpusing dengan cepat dan lazimnya berlaku kejadian yang tidak menggembirakan.
Roda akan menggali ke dalam pasir dan skil pemanduan yang tinggi diperlukan jika tidak mahu tersangkut.
Berdasarkan situasi tersebut Nissan telah membangunkan kawalan kuasa pemanduan yang boleh mengurangkan jumlah pusingan roda mengikut keadaan sesuatu permukaan.
Teknologi e-4ORCE pada Nissan Ariya

Nissan memang hebat dengan EV LEAF dan kebolehan itu ditingkatkan lagi pada EV Ariya.
Varian Ariya yang dilengkapi teknologi e-4ORCE mempunyai motor elektrik pada bahagian depan dan belakang.
Berbeza dengan kenderaan biasa, EV pacuan semua roda seperti Ariya e-4ORCE tidak menggunakan gandar tetapi motor elektrik bagi memacu roda depan dan belakang.
Dengan teknologi e-4ORCE, daya kilas setiap motor boleh dikawal secara berasingan untuk memberikan cengkaman semasa pecutan.
Apabila kenderaan diperlahankan, jumlah regenerasi untuk motor depan dan belakang turut dilaras secara berasingan.

Semasa membrek, teknologi e-4ORCE mengurangkan gegaran badan kereta dan juga junaman (dive).
Ada lagi ciri-ciri bagus iaitu semasa selekoh, daya kilas motor depan dan belakang serta prestasi brek keempat-empat roda diselia bagi memberikan pengendalian yang lancar dan selesa.
Kawalan tersebut membolehkan pemandu yang mempunyai tahap kemahiran berbeza-beza mengemudi kenderaan mereka dengan yakin di dalam pelbagai keadaan jalan termasuk hujan dan salji.
Nissan Ariya akan mula dijual di Jepun bermula tahun 2022.
Penulis: Muhammad Md Tajudin