Nissan Pathfinder 2022 dilancarkan - SUV lapan tempat duduk, nadi V6 3.5 liter 284 hp/351 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala generasi keempat Nissan Pathfinder nampak lebih lembut rekaannya, Nissan kembali merujuk kepada rekaan model original untuk mendapatkan inspirasi dan ia kemudian diaplikasikan kepada model generasi kelima yang baharu sahaja dilancarkan semalam.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Oleh sebab itu ia membawakan elemen tiga slot bukaan yang terdapat di bahagian atas gril, diikuti dengan penampilan lampu ala boomerang, rekaan gril V-Motion yang lebih gagah dan lampu belakang LED yang lebih nipis.

Sama seperti Nissan Frontier 2022, Nissan Pathfinder 2022 merupakan versi kejuruteraan semula yang dibangunkan atas platform sedia ada, dan memiliki dimensi panjang 5,004 mm, lebar 1,979 mm dan tinggi 1,778 mm dengan jarak antara roda 2,901 mm.

 


Disebalik hud hadapan menampilkan enjin bentangan V6 3.5 liter yang menghasilan 284 kuasa kuda dan 351 Nm daya kilas, dipadankan dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan dan beberapa mod pemanduan seperti Standard, Sport, Eco, Snow, Sand, Mud/Rut, dan Tow.

Walaupun dimensi yang sedikit kecil, Nissan Pathfinder 2022 mampu memuatkan sehingga lapan orang pada satu-satu masa, atau opsyen untuk memasang kerusi kapten di baris kedua.

Ia turut menawarkan ruang kargo sebesar 470 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, dan boleh diperbesarkan sehingga 2,279 liter apabila bahagian tersebut dilipat.

 


Pemilik boleh mendapatkan kemasan seperti fabrik, kulit, atau kulit semi-aniline bergantung kepada kehendak, namun ciri standard yang didatangkan termasuklah skrin infotainmen bersaiz sembilan inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, NissanConnect, sistem audio Bose dengan 13 pembesar suara (ciri opsyen), skrin digital kluster sehingga 12.3 inci, dan slot pengecasan USB untuk ketiga-tiga baris tempat duduk.

Menurut Nissan, aspek NVH (Noise, Vibration, Harshness) telah ditambah baik terima kasih kepada penggunaan kaca akustik berlaminasi, tingkap baris kedua yang lebih tebal dan penambahan insulasi pada pintu dan lantai yang mampu menyerap 60 peratus daripada bunyi enjin daripada memasuki ruang kabin.

 


Selain daripada itu, Nissan Pathfinder turut mendapat ciri kelengkapan keselamatan Nissan Safety Shield 360 sebagai ciri standard, merangkumi brek kecemasan automatik, pemantauan titik buta, amaran keluar laluan, suluhan tinggi automatik, dan brek belakang automatik.

Varian pertengahan SV dan SL pula mendapat ciri ProPilot Assist sebagai opsyen yang menambah ciri seperti kawalan pemanduan adaptif dan ciri pengekalan tengah laluan, manakala model Platinum pula mendapat ProPilot Assist dengan Navi-Link.