
Sebagai sebuah NV200 Vanette, model ini lebih kecil dan mudah untuk digunakan secara harian.
Sama seperti Caravan MYROOM, bahagian dalam didominasi corak ira kayu dan begitu luas untuk pemandu berehat. Tambah seorang penumpang lagi pun tiada masalah.
Sebagai rumah atau bilik bergerak, NV200 Vanette MYROOM tetap canggih dilengkapi sistem Amaran Tersasar dan Bantuan Tersalah Tekan Pedal.
Kedua-dua sistem itu adalah ciri standard pada model asas NV200 Vanette.

Kerusi di belakang mempunyai dua fungsi dalam satu. Boleh dijadikan kerusi biasa, dipusingkan untuk menjadi sofa menghadap ke belakang dan dibaringkan sebagai tilam.
Corak ira kayu pula seperti berada di dalam rumah dan fabrik untuk kerusi dan tilam menggunakan fabrik corak tulang ikan yang nampak hidup berbanding balutan kosong.
Meja boleh dianjak ke depan dan belakang dan bersama sofa dan tilam mengubah ruang belakang kepada tempat bekerja, berbincang atau menjamu selera.
Model pacuan dua roda (2WD) dipasang ampaian selesa untuk pemanduan yang menyenangkan ketika mengembara.

Bahagian luar van ringkas sahaja dan mempunyai personaliti melalui perkakasan hitam seperti jeriji, bampar, cermin sisi, hendal pintu dan rim kompang.
Identiti MYROOM turut diserlahkan melalui warna dua tona dan pelekat khas pada cermin sisi belakang dan pintu but.
Tidak hanya kenderaan, Nissan turut menawarkan bateri mudah alih dari LEAF yang asalnya bateri dari model elektrik LEAF.
Terdapat lagi pilihan seperti spesifikasi musim sejuk (kerusi pemandu dengan pemanas, saluran pemanas belakang dll) dan langsir pada ruang belakang.

Memilih enjin pula kerja mudah kerana satu sahaja yang ditawarkan. Enjin HR16DE 1.6 liter menghasilkan 110 kuasa kuda pada 5,600 rpm dan 150Nm pada 4,000 rpm.
Sama seperti NV200 Vanette, pelanggan boleh memilih pacuan dua roda dengan kotak gear automatik empat kelajuan atau empat roda (4WD) yang dipadan bersama Xtronic CVT.
Harga bagi NV200 Vanette MYROOM 2WD ialah 4,643,100 yen (RM134,616) dan 4,967,600 yen (RM144,122) bagi model 4WD. Lebih kecil dan murah daripada Caravan MYROOM.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan
