Nissan Navara Pro-4X Warrior - Navara paling gagah perkasa!

oleh Mohamad Hanif|
Nissan Australia akhirnya secara rasmi melancarkan varian paling tertinggi untuk trak pikap Navara dan direka khusus untuk pasaran tersebut, iaitu Nissan Navara Pro-4X Warrior.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menggunakan asas daripada varian premium Navara Pro-4X, Navara Pro-4X Warrior menggunakan kepakaran daripada firma kejuruteraan Australia Premcar yang menambah beberapa komponen serta meningkatkan lagi penampilan trak tersebut.

Kuasa walaubagaimanapun masih lagi sama, iaitu 189 PS dan 450 Nm yang diesktrak daripada enjin 2.3 liter diesel turbo berkembar.

 


Namun, Navara Pro-4X Warrior mendapat 100 kg tambahan kesan daripada pemasangan barang-barang khas bagi menjadikan ia berkeupayaan untuk membawa muatan sehingga 961 kg dan keupayaan menunda beban sehingga 3.5 tan.

Modifikasi dimulakan dengan sistem suspensi di mana Premcar telah menambah ketinggian sebanyak 40 mm, menjadikan jarak kelegaan tanah kini 260 mm.

Tidak cukup dengan itu, peningkatan ketinggian itu memberikan penambahan kepada sudut mendatang (36 darjah), namun sudut pelepasan berkurang kepada 19 darjah disebabkan pemasangan tayar simpanan bersaiz penuh.

 


Sistem suspensi hadapan pula ditala semula di mana kadar pemulihan dan kadar mampatan berkelajuan tinggi masing-masing dipertingkatkan sebanyak 50 peratus dan 100 peratus, membolehkan pemandu mendapat lebih kawalan pemanduan.

Komponen jounce bumper juga kini lebih besar untuk kawalan roda yang lebih meyakinkan pada tahap jarak pergerakan suspensi yang maksimum.

Walaupun prestasi pemanduan off-road meningkat, Premcar tidak pernah mengenepikan keselesaan pemanduan atas jalan sebenar, di mana menurut Nissan pemanduan kini lebih selesa dan mudah untuk dikawal.

 


Dari kilang, Navara Pro-4X Warrior dipasangkan dengan tayar Cooper Discover All Terrain AT3 bersaiz 275/70 R17 bagi menonjolkan lagi karakter Navara yang lebih tegap itu.

Ia kemudian disusuli dengan pemasangan bash plate berwarna merah dengan perkataan NAVARA, serta bulbar stail safari dengan bar lampu terintegrasi yang menampakkan Navara ini lebih agresif.

Ciri standard lain termasuklah skrin instrumen tujuh inci, sistem infotainmen bersaiz lapan inci serta sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

 


Harga jualan tidak didedahkan namun Nissan Australia menjanjikan harga jualan yang kompetitif. Sebagai makluman, harga Nissan Navara Pro-4X standard bermula dari AU$61,290 (RM190,320).