Kini, Nissan kembali dengan sebuah model konsep roadster yang unik, dinamakan sebagai Nissan Max-Out Concept.
Untuk makluman, model ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada tahun 2021, namun pada ketika itu Max-Out hanya wujud sebagai imej janaan komputer semata-mata.
Menurut Nissan, Max-Out direka untuk menawarkan perasaan keterbukaan yang lebih bebas, di samping menikmati pengalaman pemanduan yang dinamik dan dipertingkatkan.
Convertible berkuasa elektrik ini membawakan struktur jeriji yang tertutup dan boleh bertindak sebagai sebuah skrin paparan digital, di mana pendekatan yang sama turut dibawakan pada penutup roda.
Ruang kabin pula menempatkan dua tempat duduk terapung, karpet dengan elemen geometri yang mampu memberikan ilusi optik, skrin paparan yang lebih minimalis serta tidak ketinggalan roda stereng yoke.
Butiran terperinci seperti trenkuasa serta prestasi roadster ini tidak didedahkan oleh Nissan buat masa ini, dan besar kemungkinan ia tidak akan muncul sebagai model produksi yang sebenar.