Nissan Magnite Red Edition, edisi merah untuk badan hitam dan putih

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Magnite Red Edition
Nissan Magnite Red Edition
Ketika PROTON giat memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X50 di Afrika Selatan, Nissan pula mempunyai SUV Magnite untuk pengguna di sana.

Kedua-dua model bukan pesaing utama dengan Magnite lebih kecil atau setara Perodua Ativa.

Selain itu, sama seperti Ativa, Magnite digerakkan enjin 1.0 liter turbo tiga silinder.

Di Afrika Selatan, Nissan baru sahaja memperkenalkan varian terhad Magnite Red Edition.
Nissan Magnite Red Edition

 

Sudah menjadi trend pengeluar untuk menawarkan edisi berwarna dan paling popular ialah Black Edition.

Magnite Red Edition diasaskan dari varian Acenta dan warna merah bukan merujuk kepada warna badan tetapi hiasan merah pada luar dan dalam dan beberapa ciri tambahan.

Jaluran dua warna pada pintu Red Edition mengingatkan kepada pelekat bloodstripe Proton R3 satu ketika dahulu.

 

Nissan Magnite Red Edition

 

Selain jaluran khas di atas badan Onyx Black dan Storm White, Magnite Red Edition dilengkapi angkup brek merah, logo dan grafik khas dan garnish krom pada pintu but.

Pada bahagian dalam, tema hiasan merah diteruskan pada papan pemuka, panel pintu dan pelapik ambang pintu.

Magnite Red Edition digerakkan enjin 1.0 liter turbo (HRA0DET) dan boleh dipadankan bersama transmisi CVT atau manual lima kelajuan.

 

Nissan Magnite Red Edition

 

Enjin kecil diterjemahkan kepada penggunaan minyak ekonomikal dan Magnite memerlukan purata 5.27 liter (manual) dan 6.0 liter (CVT) petrol untuk 100 kilometer perjalanan.

Dari segi keselamatan, Magnite Red Edition dilengkapi ABS, EBD, Kawalan Cengkaman dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC).

Turut dilengkapi Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Penurunan Bukit dan kawalan jejalah.

 

Nissan Magnite Red Edition

 

Untuk maklumat dan hiburan, pengguna diberikan skrin sentuh lapan inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Pada peringkat awal hanya 600 unit Magnite Red Edition ditawarkan untuk pelanggan Afrika Selatan dan harga bermula daripada 298,300 rand (RM73,944.99).

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Kredit foto: Nissan

 

Nissan Magnite Red Edition