Lampu besar Magnite sudah sedia cantik dan dipadan bersama jeriji baharu dan bingkai berlapis pada bahagian tepi.
Bawah bampar dipasang pendakap baharu. Dua perubahan utama tersebut cukup untuk menonjolkan lagi rupa depan di sebalik lebar kereta 1,758 milimeter (mm).
Berbekal rupa depan garang, pendakap lingkungan roda tebal, rim 16 inci baharu nampak seperti boleh dibesarkan lagi bagi mengisi ruang roda dan jarak kelegaan bumi 205 mm.
Rel bumbung boleh menampung berat sehingga 50 kilogram (kg). Bahagian belakang kekal sama kecuali lampu LED baharu dengan lensa jernih dan gelap.
Bahagian dalaman pula seperti sebelum dengan papan pemuka yang ringkas dan sofistikated. Ciri baharu boleh dilihat pada panel pintu dengan tulisan Magine tertera di bawah suis tangan.
Menurut Nissan, kerusi Magnite 2025 lebih selesa selain menarik dengan balutan kulit palsu corak sarang lebah.
Kerusi belakang boleh dipisahkan dengan nisbah 60:40 dan ruang kargo sesuai dengan segmen kompak iaitu 336 liter atau meningkat kepada 540 liter apabila kerusi direbahkan.
Magnite bukan sekadar model asas dan varian teratas dilengkapi skrin meter digital saiz 17.78 inci, skrin maklumat hibur lapan inci dan pilihan pembesar suara JBL - Harman.
Turut dilengkapi lampu suasana, penjana ion udara, Penghidup Enjin Kawalan Jauh (60 m), Penguncian dan Buka Kunci Berhampiran.
Seperti sebelum ini, Magnite kekal digerakkan enjin HRA0 1.0 turbo tiga silinder dengan pilihan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT X-tronic.
Enjin tanpa turbo juga kekal iaitu B4D 1.0 liter dengan kotak gear manual atau EZ-Shift (AMT).
Dari segi keselamatan, struktur badan Magnite menggunakan 67 peratus Besi Kekuatan Tegangan Tinggi dan dilengkapi enam beg udara.
Lagi kelengkapan seperti Kawalan Dinamik Kenderaan, Sistem Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Bantuan Brek Hidraulik dan Sistem Brek Anti-Kunci.
Turut dilengkapi Pembahagian Daya Brek Elektronik, Sistem Pengawasan Tekanan Udara Tayar, peringatan tali pinggang keledar semua kerusi dan cangkuk kerusi kanak-kanak ISOFIX.
Magnite rupa baharu sudah pun boleh dipesan pelanggan di India dan ditawarkan pada harga pengenalan 599,000 rupee (RM30,082).
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit gambar: Nissan