Untuk pasaran Eropah, Nissan LEAF telah diberikan satu lagi versi facelift yang ringan yang lebih fokus kepada penggayaan semata-mata, selepas kemaskini terakhir dilakukan pada tahun 2020.
Perubahan ketara yang dibawakan pada Nissan LEAF adalah kehadiran rim aloi rekaan baharu bersaiz 16 dan 17 inci, diikuti dengan logo Nissan baharu yang boleh didapati pada gril hadapan, pintu belakang dan juga roda aloi itu tadi.
Terdapat dua tambahan warna baharu iaitu Universal Blue dan juga Magnetic Blue.
Sementara ruang kabin pula masih lagi mengekalkan teknologi yang sudah ada pada kemaskini terdahulu, seperti skrin infotainmen bersaiz sembilan inci, sokongan Apple CarPlay, Android Auto dan Amazon Alexa, serta tidak ketinggalan kelengkapan ADAS Nissan ProPILOT.
Unit trenkuasa juga tidak mendapat kemaskini, dan masih lagi mengekalkan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 148 hp (sehingga 215 hp pada model LEAF e+), serta dua pilihan pek bateri berkapasiti 40 kWh dan 62 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 385 km.