Nissan LEAF 2021 dikemaskini dengan bunyi khas untuk pejalan kaki

oleh Mohamad Hanif|
Untuk pasaran Eropah, hatchback elektrik Nissan LEAF telah diberikan kemas kini penawaran untuk model tahun 2021 yang lebih memfokuskan kepada ciri bantuan pemanduan serta keselamatan terutama terhadap pejalan kaki.

Fokus utama diberikan kepada sistem amaran pejalan kaki yang dinamakan sebagai "Canto" yang dibangunkan oleh pasukan jurutera bunyi di Jepun sebagai runut bunyi khas untuk semua model kenderaan elektrik.

Runut bunyi ini direka supaya mampu memberikan amaran yang boleh didengari oleh pejalan kaki, dan akan diaktifkan secara automatik pada kelajuan sehingga 29 km/j.

Bunyi yang didengari ini juga berbeza nadanya bagi menunjukkan LEAF sedang memecut, membrek atau mengundur.

 


Selain daripada itu, LEAF juga dilengkapi dengan sistem intervensi titik buta pintar sebagai standard yang mampu memantau trafik di sekeliling, dan akan mengekalkan kenderaan di laluan sekiranya pemandu tidak menyedari kehadiran kenderaan pada titik buta.

Nissan turut menawarkan opsyen cermin pandang belakang pintar bernilai £395 (RM2,300), di mana ia menampilkan paparan LCD yang disambungkan dengan kamera di bahagian belakang kereta bagi membantu penglihatan terutama ketika sedang membawa penumpang belakang.

 


Antara kelengkapan standard yang didatangkan pada model LEAF termasuklah rim aloi bersaiz 16 inci, sistem kawalan iklim automatik, pengelap cermin dengan pengesan hujan, bantuan suluhan tinggi, serta sistem infotainmen lapan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Sementara varian N-Connecta dan Tekna juga masih lagi tersedia, dengan penambahan ciri seperti rim 17 inci, upholsteri separa kulit, pemanas tempat duduk serta kamera 360 darjah untuk N-Connecta, manakala varian Tekna pula mendapat sistem stereo Bose, upholsteri kulit dan suede, brek parkir elektronik, lampu kabus LED dan sistem pemanduan ProPILOT.

 


Nissan LEAF didatangkan dalam dua pilihan trenkuasa, iaitu model asas 148 hp dengan pek bateri 40 kWh dan jarak operasi sejauh 270 km, serta model yang lebih berkuasa LEAF e+ dengan motor elektrik 214 hp, pek bateri 62 kWh dan jarak pergerakan maksimum 385 km.

Sistem pengecasan pantas DC 50 kW membolehkan bateri dicas sehingga 80 peratus dalam masa kira-kira 60 minit atau 90 minit untuk varian LEAF e+.

Harga jualan di Eropah tidak berubah, di mana versi asas dijual bermula dari £25,995 (RM151,346).