Nissan Kicks E-Power sah lancar di Thailand 15 Mei ini

oleh Mohamad Hanif|
Nissan Thailand telah pun mengesahkan pelancaran model SUV serba baharu Nissan Kicks e-Power yang dijadualkan berlangsung pada 15 Mei 2020 ini.
Modenas

Malah, Nissan juga menyediakan jam kiraan menurun menerusi laman web rasmi Nissan Thailand yang menyebut "A new thrill is coming" serta persembahan slide pendek berkenaan teknologi e-Power tanpa mendedahkan spesifikasi rasmi SUV tersebut.

Pelancaran ini turut menandakan Thailand sebagai lokasi pertama (di luar Jepun) yang menawarkan teknologi tersebut kepada para pelanggannya.

 


Sebelum ini beberapa rakan media luar negara telah melaporkan kelibat Nissan Kicks yang diangkut menggunakan lori, namun ia dispekulasikan sebagai kereta yang dikhususkan untuk pelancaran di negara Jepun berdasarkan kehadiran pelekat khas di bahagian belakang SUV tersebut.

Pada awalnya, Nissan mempunyai perancangan untuk memperkenalkan secara rasmi Nissan Kicks pada Bangkok International Motor Show, namun ia dibatalkan disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

Nissan Kicks e-Power dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter HR12DE yang digandingkan dengan motor elektrik menghasilkan output 129 kuasa kuda dan 254 Nm yang memacu roda hadapan.

 


Konfigurasi yang ada pada Nissan Kicks ini memberikan manfaat yang ada pada sebuah EV seperti daya kilas segera tanpa perlu risau terhadap range anxiety atau masa pengecasan yang lama disebabkan Nissan Kicks e-Power ini tidak dilengkapi dengan pek bateri yang besar.

Jadi, selepas pasaran Thailand, adakah Nissan Kicks e-Power ini bakal memasuki pasaran Malaysia juga?

Ini kerana sebelum ini, kami pernah melaporkan kehadiran SUV segmen B ini yang bakal membuat kemunculan selepas pengenalan rasmi sedan segmen B Nissan Almera yang dijadualkan pada tahun ini.