Nissan Juke 2019 - generasi kedua lebih besar, terima ciri Nissan ProPILOT

oleh Mohamad Hanif|
Setelah hampir sembilan tahun generasi pertama Nissan Juke menguasai pasaran yang kian tepu, akhirnya generasi kedua selesai dilancarkan untuk pasaran Britain.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi luaran, Nissan tidak mengubah rekaan yang menjadi identiti Nissan Juke seperti lampu berlapis, namun telah diberikan sentuhan moden bagi menjadikan Juke lebih sesuai dengan peredaran masa. 

 


Di sebalik kulit Juke yang serba moden itu, ia sebenarnya dibangunkan berdasarkan platform CMF-B yang mana dikongsi dengan Renault Captur. 

Dimensinya juga kini lebih besar, di mana Juke kini 105 mm lebih panjang jarak antara rodanya, 35 mm lebih lebar dan menerima tambahan panjang sebanyak 75 mm. 

Walaupun dimensi yang telah berubah, Nissan Juke mempunyai jisim yang lebih ringan berbanding generasi terdahulu, iaitu 23 kg lebih ringan terima kasih kepada casis ultraringan dan penggunaan keluli bertekanan tinggi. 
 


Dari segi ruang dalaman, penambahan dimensi itu tadi sedikit sebanyak menyumbang kepada ruang kargo bersaiz 422 liter, 68 liter lebih besar berbanding model terdahulu.

Menurut Nissan, para jurutera telah bekerja keras bagi menambahbaik ruang sedia ada kepada para penumpang, selain memberikan posisi pemanduan yang lebih baik kepada pemandu. 
 


Setakat ini, Nissan Juke hanya ditawarkan dalam satu trenkuasa sahaja, iaitu enjin tiga silinder sebaris berkuasa turbo 1.0 liter yang menghasilkan 115 hp dan daya kilas 200 Nm. 

Kuasa itu tadi dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan atau klac berkembar tujuh nisbah kelajuan menggantikan kotak gear CVT pada Juke terdahulu. 

Atas jalan raya, Juke 2019 mampu memecut sepantas 10.3 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi 193 km per jam. 
 


Seperti yang disebutkan, Juke baharu banyak membawakan elemen asal Juke terdahulu, seperti lampu bulat dengan LED signatur berbentuk Y pada bahagian bumper, dan lampu nyalaan siang LED yang terletak di atas.

Lampu belakang yang kurang enak dipandang pada generasi pertama itu telah digantikan dengan lampu jenis LED. 

Antara ciri keselamatan yang menjadi sebahagian daripada pakej Nissan Juke 2019 adalah Nissan ProPILOT - sistem bantuan pemanduan semi-autonomi - yang berupaya mengawal pendikit, brek dan stereng ketika memandu di laluan tunggal lebuh raya. 
 


Ciri di atas melengkapi ciri keselamatan yang tersedia seperti brek kecemasan automatik pintar, sistem pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, sistem had kelajuan, sistem pengesan papan tanda, bantuan kekal laluan, amaran lintasan trafik belakang serta sistem pemantauan titik buta. 

Untuk menarik perhatian golongan muda, crossover ini ditawarkan dalam 11 warna pilihan, dengan opsyen rim bersaiz 16 sehingga 19 inci dan pilihan warna dua tona untuk varian premium Tekna.

Nissan Juke akan mula dijual di UK bermula November ini bermula dari harga £17,395 (RM88,352) untuk varian asas, sehinggalah kepada varian lebih premium seperti N-Connects (£20,995 atau RM106,637) dan Tekna (£22,495 atau RM114,256).

Berita Berkenaan

Berita Global
Tidak seperti model generasi pertama, Nissan Juke generasi kedua ini sebenarnya tidak memerlukan…
Berita Global
  Selari dengan perubahan semasa, Nissan menawarkan Juke dengan rangkaian kuasa hibrid dan ada…
Berita Global
Berdasarkan pengumuman terbaharu yang dibuat, generasi baharu crossover Mitsubishi ASX akan…