Nissan IMk Concept - kei-car EV mewah yang futuristik

oleh Mohamad Hanif|
Acara Tokyo Motor Show yang akan berlangsung tidak lama lagi menjadi semakin meriah dengan kehadiran model-model konsep yang menarik, seperti apa yang cuba dibawakan oleh Nissan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dikenali sebagai Nissan IMk Concept, Nissan menyifatkan kereta kelas kei-car ini sebagai "ultimate urban commuter" yang membawakan bahasa rekaan Nissan baharu "Timeless Japanese Futurism". 

Dilayangkan dengan warna kuprum kemerahan "Akagane", warna tersebut diselangi dengan kemasan perak di sesetengah bahagian, seperti tiang A, serta sebahagian daripada gril hadapan kereta elektrik ini, atau 'perisai' oleh Nissan. 
 


Ya, Nissan IMk merupakan sebuah kei-car berkuasa elektrik, namun perincian seperti kapasiti bateri serta kuasa masih belum didedahkan secara rasmi oleh pengeluar Jepun itu. 

Yang pasti, kei-car ini juga akan turut dilengkapi dengan ciri pemanduan terkini ProPILOT serta sambungan mobiliti terhubung termaju. 

Ia ditambah dengan teknologi Invisible-to-Visible yang membolehkan kenderaan mengesan objek sekeliling dalam masa yang singkat dan seterusnya menjangkakan keadaan yang bakal atau mungkin terjadi di hadapan, atau di sebalik bangunan. 
 


Memasuki ruang kabin, ia membawakan anjakan yang radikal daripada rekaan tipikal kenderaan produksi Nissan masa kini. 

Penggunaan bahan fabrik kelabu cerah di bahagian seperti papan pemuka dan roda stereng dikatakan mampu memberikan atmosfera yang selesa kepada pengguna. 

Ia disulami dengan elemen kayu di bahagian pintu dan diterangi dengan bantuan cahaya ambien, manakala ruang lantai pula menggunakan karpet berwarna gelap ala-ala kopi untuk memberikan perasaan yang lebih santai. 
 


Sebagai sebuah kereta kecil urban, Nissan IMk sengaja membuang segala butang fizikal dan menggantikannya dengan peranan daripada skrin sentuh bagi mengoperasikan fungsi-fungsi seperti pendingin hawa, dan sistem infotainmen.

Info-info penting akan disalurkan kepada pemandu menerusi paparan holografik yang boleh dikustom mengikut kehendak. 

Ada sebabnya kenapa Nissan sengaja berbuat demikian, kerana menurut pengarah eksekutif rekaan Nissan, Satoru Tai berkata:
 


"Kami mahu segala ruang di dalam kabin IMk kekal rata tanpa sebarang butang, ini memberikan lebih ruang fizikal kepada kereta ini.

"Nissan IMk merupakan gabungan rekaan moden dan bersih yang dipacu oleh warisan Jepun itu sendiri, serta digandingkan dengan teknologi termaju EV. 

Nissan menyifatkan model konsep IMk ini sebagai sebuah kereta elektrik mewah yang kecil, dan berharap dengan konsep sebegini akan mampu menarik lebih ramai orang untuk memandunya pada masa akan datang. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sepanjang tempoh tersebut, kedua-dua syarikat itu akan menilai tahap keberkesanannya dalam…
Berita Global
Tiga daripadanya sudah pun kita ketahui, iaitu kei-car Mitsubishi Delica Mini, Mitsubishi ASX,…
Berita Global
Selepas melancarkan TFENDER yang dihasilkan khusus untuk Toyota ProBox, ESB Style kini melancarkan…