Nissan Hyper Punk, crossover elektrik direka untuk pencipta kandungan dan artis

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan Hyper Punk
Nissan Hyper Punk
Nissan Motor Co. Ltd. terus memperkenalkan model konsep yang dibawa ke Japan Mobility Show 2023 dan kali ini crossover kompak dengan nama Nissan Hyper Punk.

Adakah crossover ini untuk pemuzik atau pengikut punk?

Tidak juga, Nissan Hyper Punk direka untuk pencipta kandungan, pempengaruh, artis dan mereka yang yang menerima gaya dan inovasi.

Nissan Hyper Punk adalah kenderaan untuk kreativiti.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nissan Hyper Punk

 

Rekaan dalam Hyper Punk membawa elemen origami dan mewujudkan ruang yang menggabungkan digital dan seni. 

Sebagai contoh, kamera boleh merakam persekitaran kereta dan melalui AI mengubahnya kepada imej manga atau corak grafik mengikut pilihan pemandu.

Imej tersebut boleh dipancarkan pada tiga skrin depan pemandu dan menghasilkan ruang di mana realiti dan dunia metaverse digabung bersama.

Direka sebagai studio kreatif bergerak, kabin kereta menyediakan sambungan internet untuk pengguna mendapatkan maklumat atau menghasilkan karya.

 

Nissan Hyper Punk

 

Menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan penyandar kepala dengan biopenderia, sistem kereta boleh mengesan mood pemandu.

Seterusnya, sistem akan memilih muzik dan pencahayaan bersesuaian secara automatik bagi meningkatkan tenaga dan kreativiti.

Selain itu, sistem V2X membolehkan pengguna memainkan dan mengecas peranti tidak kira masa dan lokasi dan juga berkongsi tenaga elektrik dengan pengguna lain dan acara luar.

 

Nissan Hyper Punk

 

Walaupun sebuah konsep, reka bentuk luaran Hyper Punk membayangkan model realiti sekiranya diproduksikan kelak.

Tambahan pula, Nissan sudah pun mempunyai model dengan gaya funki tidak lain dan tidak bukan Nissan Juke.

Permukaan kereta dibuat dalam bentuk poligon dan berlekuk dengan lampu depan dan belakang disatukan ke dalam badan.

Rim 23 inci menyerlahkan lagi penampilan. Satu lagi yang menarik ialah warna perak akan bertukar tona mengikut sudut pandangan dan sumber cahaya.

 

Nissan Hyper Punk

 

Lupakan tentang minimalis kerana Nissan Hyper Punk adalah objek untuk meluahkan diri dan memecahkan tradisi.

Hyper Punk juga pentas Nissan mempamerkan pendekatan yang progresif dalam memperkenalkan teknologi dan reka bentuk baharu.

Dengan lambakan kereta elektrik dan reka bentuk menarik pada hari ini, Nissan sememangnya memerlukan produk luar biasa seperti GT-R dan Juke.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan

 

Nissan Hyper Punk