Nissan GT-R R35 berakhir, 18 tahun di pasaran!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Nissan GT-R R35 berakhir!
Nissan GT-R R35 berakhir!
Setelah 18 tahun, Nissan secara rasmi menamatkan pengeluaran model ikonik GT-R R35.

Pemasangan untuk pasaran domestik Jepun yang merupakan pasaran jualan terakhir kini telah selesai.

Sejak dilancarkan pada tahun 2007, R35 dikenali sebagai simbol prestasi dan inovasi, memukau peminat dan menetapkan tanda aras dalam segmen kereta sport berprestasi tinggi.

Legasi 48,000 Unit

 

Nissan R35 GT-R Berakhir 2025

 

Di kilang Nissan di Tochigi, para pekerja berkumpul untuk meraikan legasi R35 ketika unit terakhir keluar dari barisan pengeluaran.

Secara keseluruhan, kira-kira 48,000 unit GT-R R35 telah dihasilkan dan dijual sepanjang kitaran hayatnya.

Unit terakhir, model Premium Edition T-Spec berwarna Midnight Purple dibuat untuk seorang pelanggan di Jepun.

R35 GT-R: Evolusi Berterusan

 

Nissan R35 GT-R Berakhir 2025

 

Pasukan perancangan dan kejuruteraan Nissan berusaha untuk menyuntik R35 GT-R dengan karakter pelbagai prestasi.

Mereka menghasilkan sebuah GT Grand Tourer yang sejati dengan pemanduan selesa, tahap penghalusan tinggi, dan pemasangan serta kemasan yang menjadi penanda aras.

Pada masa yang sama, ia membolehkan pemandu menikmati prestasi bertaraf dunia yang merangkumi makna R dalam nama GT-R, sebagai tanda hormat kepada teknologi perlumbaan.

Sepanjang kitaran hayatnya, R35 GT-R terus berkembang. Jurutera Nissan di Jepun meningkatkan kuasa, kawalan, dan keselesaan dari tahun ke tahun.

Untuk model GT-R NISMO, prestasi yang diasah di litar ditingkatkan ke tahap menakjubkan.

Dikuasakan VR38DETT

 

Nissan R35 GT-R Berakhir 2025

 

R35 dikuasakan enjin VR38DETT turbo berkembar V6, pacuan semua roda ATTESA ET-S dan aerodinamik inovatif dengan pengalaman pemanduan mendebarkan di jalan raya dan litar.

Uniknya dalam tempoh pengeluaran, pasukan yang hanya terdiri daripada sembilan karyawan mahir dikenali sebagai Takumi di kilang Yokohama memasang setiap enjin secara manual.

Nama mereka diabadikan pada plak yang dilekatkan pada setiap enjin.

Kuasa maksimum enjin meningkat daripada 480 ps semasa pelancaran kepada 570 ps dari tahun model 2017 dan seterusnya.

Jurutera NISMO berjaya meningkatkan kuasa sehingga 600 ps untuk model GT-R NISMO dengan menggunakan pengecas turbo spesifikasi kereta lumba GT3 dan perkakasan lain.

 

Nissan R35 GT-R Berakhir 2025

 

Rekod dan Pencapaian

  • Lima kemenangan kelas GT500 dan tiga kemenangan kelas GT300 dalam Kejohanan SUPER GT Jepun.
  • Kemenangan dalam kelas Pro-Am Siri Blancpain GT 2013.
  • Kemenangan Bathurst 12-hour pada tahun 2015.
  • Lima kemenangan siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu Jepun.

Rekod di Litar Nürburgring Nordschleife

  • 2007: Masa pusingan 7 minit, 38 saat.
  • 2008: Masa pusingan 7 minit, 29 saat.
  • 2009: Masa pusingan 7 minit, 26 saat.
  • Oktober 2012: Masa pusingan 7 minit, 18 saat.
  • November 2013: Model GT-R NISMO mencatat masa terbaik 7 minit 8.679 saat.

Rekod di Litar Tsukuba

Di Jepun, pasukan NISMO juga memecahkan rekod pusingan kereta pengeluaran di litar Tsukuba:

  • Disember 2019: Model 2020 GT-R NISMO mencatat rekod baharu dengan masa 59.361 saat.
  • Januari 2024: Model 2024 GT-R NISMO memecahkan rekodnya sendiri dengan masa 59.078 saat.
​​​​ Nissan R35 GT-R Berakhir 2025

 

Bukan Selamat Tinggal

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Ivan Espinosa, menyatakan bahawa ini bukanlah selamat tinggal selamanya untuk nama GT-R.

"Kami faham jangkaannya tinggi. Lencana GT-R bukanlah sesuatu yang boleh diletakkan pada mana-mana kenderaan, ia dikhaskan untuk sesuatu yang benar-benar istimewa dan R35 telah menetapkan piawaian yang tinggi.

Oleh itu, apa yang saya boleh minta adalah kesabaran anda. Walaupun kami tidak mempunyai rancangan yang tepat dimuktamadkan hari ini, GT-R akan berkembang dan muncul semula pada masa hadapan.” kata Espinosa.

Penulis: Muhamad Md Tajudin / Kredit Gambar: Nissan

 

Nissan R35 GT-R Berakhir 2025