Selain daripada kehadiran model-model konsep dan kustom yang dibawakan oleh syarikat-syarikat besar, terdapat satu bahagian yang sering kali menarik perhatian penulis - hasil karya pelajar NATS.
NATS atau nama panjangnya Nihon Automotive College sering kali menghantar para pelajarnya untuk mempamerkan hasil karya tahun akhir yang ada kalanya menarik perhatian, dan ada ketikanya anda sendiri terpaksa menggaru kepala memikirkan konsep yang dibawakan.
Dua contoh yang bakal diperlihatkan pada Tokyo Auto Salon 2020 adalah Toyota GT86 Sedan dan Nissan GT-R Convertible.
Toyota GT86 Sedan - sports sedan yang praktikal
Anda tidak akan menyangka bahawa di sebalik kulit Toyota GT86 dengan empat pintu ini, ia sebenarnya adalah sebuah Toyota Camry!
Casis asal Camry ini beserta trenkuasa 2.5 liter (160 PS/213 Nm) dikekalkan, namun kulit luar telah dibuang dan digantikan dengan komponen daripada Toyota GT86.
Selain daripada itu, set rim bersaiz 19 inci telah dipasang beserta dengan sistem suspensi Tein Street Advance bagi menampakkan stance sebuah kereta pameran.
Nissan GT-R Convertible
Ya, sekali lagi, kereta asal bukanlah sebuah Nissan GT-R, ini kerana Nissan tidak pernah menghasilkan sebuah Nissan GT-R dalam varian convertible.
Pelajar NATS yang bertanggungjawab melakukan projek ini telah menggunakan sebuah kereta penderma dari Nissan Fairlady 350Z Roadster dan menggantikan panel luaran Fairlady ini dengan komponen daripada Nissan GT-R R35.
Jentera unik ini dilayangkan dengan warna perak yang diakhiri dengan pemakaian corak kereta Brian O'Connor dari filem 2 Fast 2 Furious.
Hasil akhir kedua-dua jentera ini akan dipamerkan di acara Tokyo Auto Salon 2020.