Yang pasti, generasi terkini Nissan GT-R sebenarnya sudah terlalu tua, dah 13 tahun semenjak pengenalannya pada tahun 2007 tanpa sebarang perubahan besar-besaran.
Malah, Nissan GT-R50 yang direka oleh Italdesign juga sebenarnya masih lagi mengekalkan casis yang serupa, hanya kulit luarannya yang berjaya mengelirukan pandangan umum.
Bagi mereka yang tegar mengikuti perkembangan semasa Nissan, usah risau kerana dalam satu laporan daripada Automotive News, COO Nissan Motor Co. Ashwani Gupta memberitahu bahawa syarikat tersebut sedang dalam proses mengemaskini penawaran di Amerika Syarikat, termasuklah model GT-R.
Menurut laporan itu lagi, Nissan sudah pun memulakan usaha terhadap model GT-R yang direka semula, dan bakal dilancarkan pada tahun 2023.
Nissan juga sedang mempertimbangkan untuk mengemaskini trenkuasa sedia ada dengan menambah ciri seperti sistem pemulihan tenaga kinetik - teknologi yang sama digunakan pada jentera lumba Le Mans GT-R LM Nismo.
Sumber: Automotive News