
Pilih kesemuanya untuk dijadikan koleksi? Idea bagus. Untuk pasaran Amerika Syarikat, Nissan membahagikan GT-R 2024 kepada tiga varian iaitu Premium, T-spec dan NISMO.
Sekali lagi sukar untuk membuat pilihan kerana masing-masing mempunyai tarikan sendiri.
Apa yang pasti GT-R 2024 dijual dalam unit terhad melalui pengedar Nissan terpilih. GT-R NISMO dijual sedikit lewat iaitu pada musim panas (Jun hingga September).
Kesemua GT-R 2024 menggunakan bahagian depan dan belakang baharu dan beberapa komponen lain bagi meningkatkan daya mendap dan mengurangkan seretan.

Model paling ekstrem GT-R NISMO menerima sayap belakang dengan tiang leher angsa (swan neck) dan permukaan hampir 10 peratus lebih besar daripada sebelum ini.
Nissan juga pandai bermain nostalgia dengan mengembalikan model istimewa T-spec dan diposisikan di antara GT-R Premium dan GT-R NISMO.
Dari segi kuasa, GT-R NISMO menghasilkan output paling tinggi dengan 600 kuasa kuda (hp) dan tork 652Nm.
Model ini juga istimewa dengan pembeza gelincir terhad (LSD) depan yang pertama kali digunakan.

Enjin 3.8 liter VR38DETT GT-R Premium pula menghasilkan 565 hp dan tork 633Nm.
GT-R T-spec diasaskan dari GT-R Premium dengan dapra lebih lebar, brek karbon seramik NISMO dan rim tempa RAYS® warna emas.
Bahagian dalam menggunakan tema Mori Green, balutan separa anilina dan suede serta beberapa ciri khas lain.
Ada dua pilihan warna T-spec iaitu Millennium Jade yang mengingatkan kepada model GT-R paling langka (rare), iaitu GT-R R34 V-Spec II Nür.

Pilihan kedua ialah Midnight Purple yang merupakan olahan baharu warna idnight Purple III pada GT-R R34 V-Spec.
Daripada tiga model tersebut dan jika sudah nekad untuk membeli GT-R NISMO, Nissan mempunyai pilihan NISMO Appearance Package.
Pilihan itu didatangkan bersama rim RAYS® dengan riasan merah, lapisan kilatan (clear coat) istimewa pada tukup enjin gentian karbon dan penutup enjin khas.

Berikut harga Nissan GT-R 2024 yang disyorkan (MSRP) :
- GT-R Premium - AS$120,990 (RM549,090)
- GT-R T-spec - AS$140,990 (RM639,856)
- GT-R NISMO - AS$220,990 (RM1,002,944)
Daripada tiga model tersebut, GT-R T-spec dan NISMO dikategorikan sebagai sangat eksklusif dan ditawarkan dalam jumlah terhad.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Foto: Nissan
