Terbaru Nissan memperkenalkan GT-R 2024 untuk pasaran Jepun bersama dua edisi istimewa iaitu GT-R Premium edition T-spec dan Nissan GT-R NISMO Special edition.
Secara asas, GT-R 2024 hadir dengan perubahan kosmetik dan menariknya tidak membawakan gril V-Motion.
GT-R 2024 ibarat kembali kepada generasi awal dengan rekaan bampar dan bentuk gril berkotak.
Selain bampar, lampu nyalaan siang LED menampakkan sisi futuristik dan imej yang lebih sederhana berbanding GT-R sebelum ini.
GT-R NISMO pula macam biasa, nampak garang dan seperti baru keluar litar lumba dengan liang udara pada fender dan hud serta spoiler belakang tinggi.
Perubahan kosmetik yang dibuat turut membawakan ciri aerodinamik lebih baik dan kualiti pemanduan yang diperkemaskan.
Kuasa enjin VR38DETT masih sama namun bunyi dan getaran dikurangkan dan bunyi telah ditala dengan cermat untuk meningkatkan keselesaan di dalam kabin.
Segala perubahan yang dibuat menjadikan setiap GT-R tidak semestinya sama dan anda perlu mengetahui tahun keluaran bagi mengenalpasti perbezaan sebelum membelinya.
Nissan GT-R Premium edition T-Spec
T-spec mewakili falsafah GT-R yang mendahului dan membentuk masa dan diinspirasi daripada perkataan trend dan traction (cengkaman).
Model ini diwujudkan untuk sentiasa mendahului zaman dan pemanduan dengan cengkaman yang bagus.
Model 2024 dilengkapi set suspensi talaan khas dan brek cakera karbon untuk pemanduan yang lancar dan pengendalian responsif.
Nissan GT-R NISMO
Jika GT-R sudah hebat, GT-R NISMO pula dengan pakej sekali ganda lebih hebat (termasuk harga) dan meletakkannya sebagai GT-R paling berprestasi.
Model 2024 didatangkan dengan ciri aerodinamik lebih baik, talaan suspensi dan penambahan pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal pada pacuan depan akhir.
Kerusi Recaro baharu dengan ira gentian karbon nampak lebih garang dan memberi rasa kebersamaan dengan kereta dan katanya lebih selesa.
Komponen enjin GT-R NISMO juga berbeza sebagai contoh gelang omboh, rod penyambung dan aci engkol.
Berikut ringkasan varian dan kuasa GT-R 2024 untuk pasaran Jepun:
GT-R 2024
- GT-R Pure edition
- GT-R Black edition
- GT-R Premium edition
- GT-R Premium edition T-spec
- GT-R Track edition engineered by NISMO
- GT-R Track edition engineered by NISMO T-spec
- Enjin 3.8 liter VR38DETT
- 570 ps @ 6,800 rpm
- 637Nm dari 3,300 - 5,800 rpm
GT-R NISMO 2024
- GT-R NISMO
- GT-R NISMO Special edition
- Enjin 3.8 liter VR38DETT talaan khas NISMO
- 600 ps @ 6,800 rpm
- 652Nm dari 3,600 - 5,600 rpm
GT-R 2024 bakal memasuki pasaran Jepun pada musim luruh (Mac - Jun) manakala GT-R NISMO akan dijual pada musim panas (Jun - September).
Penulis: Muhammad Md Tajudin