Nissan Frontier 2022 dilancarkan - enjin V6 3.8 liter, 310 hp/381 Nm

oleh Mohamad Hanif|
Jika dibandingkan dengan model Navara facelift yang dilancarkan pada penghujung tahun lalu, Nissan Frontier pula sebenarnya memiliki dimensi yang lebih besar dan masih lagi dikategorikan sebagai trak pikap saiz pertengahan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berbanding dengan model terdahulu, Nissan Frontier 2022 ini mendapat penambahan dimensi sebanyak lima inci, dengan jarak antara roda yang masih sama, namun dengan casis yang telah menjalani proses kejuruteraan semula dan mendapat penambahan ciri seperti bar pengimbang depan dan belakang.  

Nissan Frontier 2022 dikuasakan oleh nadi bentangan V6 3.8 liter yang menghasilkan 310 kuasa kuda dan 381 Nm, manakala sistem transmisi pula adalah jenis automatik sembilan nisbah kelajuan.

 


Nissan Frontier 2022 ditawarkan dalam dua versi pacuan - roda belakang dan pacuan semua roda, di mana ciri-ciri seperti Bantuan Mula Mendaki dan Bantuan Menurun Cerun adalah standard.

Namun jika anda memilih varian PRO-4X, ia hadir dengan kelengkapan tambahan seperti diff kekunci elektronik, penyerap hentak off-road Bilstein, skid plate bawah badan, sistem suspensi hadapan double-wishbone dengan penyerap tiub berkembar dan bar pengimbang, sementara bahagian belakang pula didatangkan dengan gandar solid Dana dan spring dedaun.

Dengan ciri yang disebutkan itu tadi, Nissan Frontier 2022 mampu membawa muatan seberat 635 kg dan muatan tunda sehingga 2,944 kg dengan ciri standard Trailer Sway Control.

 


Dari segi rupa luaran, Nissan banyak mengambil inspirasi rekaan daripada trak pikap era 80-an dan 90-an, dengan reka bentuk yang lebih petak terutama pada unit lampu utama dengan lampu nyalaan siang LED berkembar, grill yang lebih gagah perkasa.

Elemen grafik berkembar itu kemudian diteruskan pada rekaan lampu belakang, sedikit berbeza berbanding apa yang ditampilkan pada Nissan Navara.

 


Untuk pemandu, Nissan telah memberikan ciri tempat duduk Zero Gravity bagi menjadikan pemanduan yang lebih selesa dan tidak memenatkan, selain talaan semula diberikan kepada sistem stereng.

Sistem infotainmen bersaiz sembilan inci di bahagian tengah datang standard dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sementara di hadapan pemandu turut menampilkan skrin kluster instrumen bersaiz tujuh inci.

Nissan cukup pemurah dengan memberikan lebih ruang simpanan barang, terutama di bahagian tengah (3.78 liter), diikuti storan pintu belakang (5.7 liter) dan pintu depan (6.5 liter).

 


Dari segi keselamatan, Nissan Frontier 2022 mendapat ciri terkini seperti kamera 360 darjah, Safety Shield 360 yang merangkumi ciri-ciri seperti brek kecemasan automatik, pengesan pejalan kaki, serta amaran titik buta.