Nissan Beri Amaran Bekalan Minyak Enjin Jejas Nissan Di Amerika Syarikat

oleh Qalif Latif|
Nissan dilaporkan sedang bersedia menghadapi masalah bekalan minyak enjin di Amerika Syarikat selepas satu memo dalaman berkaitan pengurangan stok minyak pelincir tersebar di internet.

Dokumen bertarikh 1 Mei 2026 itu dikeluarkan oleh bahagian Nissan Aftersales dan ditujukan kepada pengedar serta pengarah servis Nissan di Amerika Syarikat.

Bekalan Dikurangkan Kepada 55 Peratus

Menurut memo tersebut, bekalan Nissan Genuine Oil termasuk varian Mobil dan Mobil 1 akan dihadkan kepada sekitar 55 peratus berbanding jumlah tahun sebelumnya.

Bekalan minyak enjin pukal dan bungkusan juga akan menerima pengurangan sama bagi mengelakkan gangguan lebih besar kepada rangkaian pengedar Nissan di Amerika Syarikat.

Nissan turut menjangkakan kenaikan harga minyak enjin akibat pelarasan harga daripada pihak pembekal.

Punca Dikaitkan Dengan Konflik Timur Tengah

Dalam memo tersebut, Nissan menyatakan kekangan bekalan berpunca daripada gangguan terhadap bahan mentah utama dan input penapisan susulan konflik di Timur Tengah.

Malah dalam dokumen FAQ untuk pengedar, Nissan menjelaskan beberapa faktor utama yang sedang memberi kesan kepada industri pelincir global termasuk:

  • Bahan mentah
  • Kapasiti penapisan
  • Komponen utama pelincir

Dokumen itu turut menyebut bahawa masalah tersebut sedang memberi kesan kepada keseluruhan industri automotif.

Setakat Ini Hanya Libatkan Amerika Syarikat

Walaupun isu ini berpunca daripada rantaian bekalan global, memo yang tersebar ketika ini hanya melibatkan operasi Nissan di Amerika Syarikat.

Ini kerana dokumen tersebut secara jelas menyebut ia melibatkan “Nissan network in the U.S.” dan diedarkan kepada rangkaian pengedar di negara itu sahaja.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi yang menunjukkan pengurangan bekalan minyak enjin Nissan dilaksanakan di pasaran lain.

Nissan Sedang Cari Alternatif Bekalan

Nissan berkata mereka kini sedang bekerjasama dengan pembekal global untuk mendapatkan tambahan bekalan minyak enjin dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang.

Selain itu, syarikat tersebut turut sedang mencari sumber alternatif bagi memastikan operasi servis pengedar tidak terganggu.

NIssan AS