Nissan Belajar Strategi Pembekal China Demi Penjimatan Kos

oleh Qalif Latif|
Nissan Motor Co Ltd sedang mengkaji strategi pembekal dari China sebagai langkah untuk memperkukuh daya saing kos dalam operasi global mereka. Menurut Tatsuzo Tomita, Ketua Transformasi Kos Terkawal Nissan, syarikat Jepun itu kini memberi tumpuan untuk meniru kaedah pembekal China yang terkenal dengan penggunaan komponen standard serta kerjasama rapat dengan pereka bentuk.

Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan penstrukturan semula Nissan yang menyasarkan pengurangan kos sebanyak 500 bilion yen menjelang Mac 2027, dengan separuh daripadanya melalui pengurangan kos tetap dan separuh lagi menerusi pemotongan kos berubah. Sasaran khusus melibatkan pengurangan kos berubah sebanyak 250 bilion yen (RM11.3 bilion).

Belajar Dari Kaedah “Chinese-Style”

Tomita menjelaskan bahawa Nissan kini sudah mula “mendapat akses” kepada cara kerja pembekal China. Namun, cabaran utamanya adalah bagaimana untuk menyesuaikan kaedah tersebut bagi bahagian komponen untuk model kenderaan sedia ada dan akan datang.

Beliau juga menegaskan bahawa Nissan tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah pembekal sedia ada, sebaliknya mahu mengukuhkan kerjasama strategik. Malah, pembekal China kini semakin berkembang ke pasaran global seperti Hungary, Maghribi dan Turkiye membuka peluang buat Nissan mempertimbangkan mereka sebagai rakan kongsi masa depan.

Pelan Penjimatan dan Penyusunan Semula

Sebagai sebahagian daripada penjimatan kos, Nissan sudah mengumumkan penutupan pusat rekaan di San Diego, Amerika Syarikat dan Sao Paulo, Brazil. Operasi di pusat rekaan London dan Jepun juga akan dikecilkan. Sejak langkah itu diumumkan, saham Nissan naik 1.6% dan ditutup pada paras tertinggi sejak Mei lalu.

Selain itu, Nissan sebelum ini turut merancang untuk mengurangkan sekitar 20,000 pekerjaan serta menggabungkan tujuh kilang bagi memastikan aliran tunai bebas (free cash flow) kekal positif dan keuntungan operasi tercapai menjelang tahun kewangan 2027.

Hala Tuju Nissan

Tomita mengakui sasaran pengurangan kos berubah sebanyak 250 bilion yen adalah “amat besar”, namun beliau optimis ia boleh dicapai dengan momentum semasa termasuk melalui ribuan idea penjimatan kos yang dikumpul daripada pekerja.

Kesan penuh daripada langkah penjimatan ini dijangka mula kelihatan pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya tahun depan, bergantung kepada model kenderaan yang terlibat.

Sumber: Reuters


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan, Nada yang kini berusia 61 tahun akan melepaskan jawatannya sebagai Corporate…
Berita Global
Langkah ini diambil selepas Nissan sebelum ini menghasilkan jumlah Z yang terlalu banyak,…
Berita Global
Perkembangan itu dibentangkan sempena Persidangan Akademik ke-30 “Wildlife and Society” yang…