Seperti yang dipaparkan, ia sebenarnya adalah sebuah model konsep Nissan Max-Out yang telah pun wujud dalam bentuk imej janaan komputer pada penghujung tahun 2021.

Nissan Max-Out merupakan sebuah roadster dua tempat duduk berkuasa elektrik yang memanfaatkan binaan badan serba ringan.
Menurut Nissan, Max-Out mempunyai sistem pacuan semua roda Advanced e-4ORCE dengan satu motor elektrik untuk setiap gandar, titik graviti yang rendah, serta konfigurasi tempat duduk unik yang mampu memaksimumkan ruang kabin mengikut keperluan.

Data seperti output kuasa masih lagi dirahsiakan, namun trenkuasa motor elektrik berkembar itu pernah dipersembahkan menerusi model prototaip LEAF pada tahun 2019, dengan membawakan output setinggi 304 hp dan 680 Nm.
Tidak dapat dipastikan sama ada Nissan akan meneruskan produksi model roadster berkuasa elektrik ini, memandangkan dalam dunia sebenar permintaan terhadap model genre ini semakin menurun bagi memberikan laluan kepada SUV yang lebih popular.