Armada 2025 pasaran Amerika Syarikat ditawarkan dalam lima varian iaitu SV, SL, Platinum, Platinum Reserve dan tampil rugged dengan PRO-4X seperti di dalam gambar.
Dari segi rekaan, Armada meneruskan gayaan berkotak yang diwarisi sejak dulu dan seperti pesaing lain. Armada 2025 juga menyerlahkan gaya Amerika Syarikat.
Tirai udara bahagian depan membantu mengalirkan udara kepada roda depan untuk meningkatkan kecekapan aerodinamik.
Bahagian sisi tampil menarik dengan corak tiang D yang yang memisahkan bumbung seolah-olah terapung.
Bergantung pada varian, Armada menggunakan rim 18, 20 atau 22 inci. Rekaan berkotak diteruskan pada bahagian belakang dan tulisan Armada yang menonjol.
Cermin belakang tampil kemas dan pengelap cermin disorokkan pada bahagian atas.
Nissan menawarkan sejumlah warna termasuk dua tona untuk Platinum, PRO-4X dan Platinum Reserve.
Badan warna Alpine Metallic, Gun Metallic, Coulis Red, Aspen White dan Everest White dipadan bersama bumbung Super Black.
Bukan sahaja meneruskan gayaan berkotak yang diwarisi sejak dahulu, Nissan juga mengekalkan enjin pembakaran dalaman tanpa campur tangan perkakasan elektrik.
Enjin VR35DDTT 3.5 liter V6 turbo berkembar memiliki 425 kuasa kuda (hp) dan tork 700Nm atau 25 hp dan 140Nm lebih tinggi berbanding enjin 5.6 liter V8 sebelum ini.
Enjin dilengkapi fungsi Melahu Henti-Mula dan Mirror Bore Coating (lapisan pada silinder) bagi meningkatkan lagi kecekapan.
Kotak gear sembilan menggantikan versi tujuh gear sebelum ini bagi menambah baik pecutan dan kecekapan kelajuan jajap selain tukaran gear lebih pantas.
Armada mempunyai dua jenis pacuan iaitu belakang atau empat roda pintar. Armada PRO-4X istimewa dengan pengunci pembeza belakang elektronik, tayar AT dan pelbagai lagi.
Sistem Ampaian Udara Boleh Suai Elektronik pada PRO-4X dan Platinum Reserve boleh direndahkan bagi meningkatkan aerodinamik atau semasa dalam keadaan pegun.
Operasi stereng ditukar kepada jenis elektrik dengan nisbah putaran lebih pantas berbanding model sebelum ini.
Selain itu, rangka baharu mempunyai ketegaran torsi 25 peratus dan ketegaran lateral (sisi) 57 peratus lebih tinggi.
Ciri-ciri Nissan Armada 2025:
Ukuran
- 5323.8 (p) x 2115.8 - 2349.5 (l) x 1945.6 - 1981.2 (t) mm
- Jarak roda: 3075.9 mm
- Kelegaan bumi 243.8 mm
Dalaman
- 2 skrin berkembar saiz 12.3 inci
- Skrin 14.3 inci ( PRO-4X, Platinum dan Platinum Reserve)
- Lampu suasana 64 warna
- Skema warna Charcoal, Chestnut dan Almond
- 7 atau 8 tempat duduk
- Ruang kaki baris kedua bertambah 4.2 inci dan 5.7 inci pada baris ketiga
- Biometric Cooling (pilihan untuk PRO-4X) - kamera bumbung mengesan kepanasan penumpang baris pertama dan kedua dan mengalirkan lebih banyak udara
- Pilihan sistem audio Klipsch® dengan 12 pembesar suara, subwufer DualPower™, 600 watt
- Intelligent Around View® Monitor 3D dengan Invisible Hood View dan Front Wide View
Teknologi bantuan pemanduan
- Nissan Safety Shield® 360 pada semua varian (Pembrekan Kecemasan Automatik dengan Pengesanan Pejalan Kaki, Amaran Penukaran Lorong, Amaran Pelanggaran Depan dll)
- ProPILOT Assist pada SV dan PRO-4X (Kawalan Pandu Pintar dengan bantuan stereng)
- ProPILOT Assist 1.1 pada SL, Platinum dan Platinum Reserve (Menggunakan data dari navigasi untuk melaras kelajuan pada selekoh dan persimpangan)
- ProPILOT Assist 2.1 - pilihan pada SL, Platinum dan Platinum Reserve (Sistem paling canggih, pemandu boleh melepaskan tangan dalam keadaan tertentu)
Armada 2025 akan mula dijual di Amerika Syarikat pada suku akhir 2024.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan