
Gril itu adalah kesinambungan kepada dua abang besar iaitu Sentra dan Teana. Bahagian belakang pula nampak sama dan masih menarik walaupun berada di pasaran sejak 2019.
Mungkin dengan bahagian depan baharu serta pakej lebih mantap dapat menyaingi dua lagi sedan Jepun bila tiba giliran pasaran tempatan kelak.
Usah lupa, Almera generasi pertama begitu popular di pasaran tempatan. Satu lagi yang menonjol pada Almera 2023 ialah warna baharu Gray Sky Pearl.
Menurut Nissan, warna itu boleh bertukar mengikut keadaan dan dari sudut penglihatan berbeza.

Warna itu nampak keungguan di bawah cahaya rendah dan bertukar kepada kebiruan pada waktu matahari bersinar terang.
Apabila dipandang dari jauh, Gray Sky Pearl nampak seperti warna solid dan dari dekat baru kelihatan butiran mutiara pada badan kereta.
Satu lagi yang diberitahu, warna itu juga menaikkan seri dan bayang pada kereta yang menyerlahkan gaya sporti Almera.

Bahagian dalam Almera 2023 juga menarik dengan panel pemuka berwarna biru (mengikut varian).
Di antara fungsi yang dilengkapi ialah pengecas tanpa wayar, kawalan jelajah dan kunci pintar dengan fob kunci rekaan baharu.
Sistem maklumat hibur NissanConnect boleh disambungkan dengan Android Auto dan Apple CarPlay.
Aplikasi telefon dipaparkan pada skrin sentuh lapan inci yang turut mempunyai sistem pengecaman suara.

Selain itu, sistem NissanConnect Services pula membolehkan pemilik membuat dan mengawasi Almera mereka dari telefon pintar.
Di antaranya butang SOS untuk kecemasan, mengunci kereta, menghidupkan enjin, hon dan lampu dan menjejaki lokasi kereta.
Almera 2023 kekal digerakkan enjin HRA0 1.0 liter turbo yang menghasilkan 100 kuasa kuda (hp) dengan tork 152Nm dan dipadan bersama transmisi XTRONIC CVT.
Supaya lebih ekonomikal, enjin itu mempunyai fungsi Henti Melahu (Idle Stop).

Dari segi keselamatan, Nissan menambah kelengkapan standard seperti Sistem Pengawasan Tekanan Tayar (TPMS), Bantuan Lampu Tinggi (HBA) dan Amaran Penukaran Lorong (LDW).
Teknologi Nissan 360° Safety Shield pula merangkumi fungsi berikut:
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Pengesanan Objek Bergerak (MOD)
- Amaran Titik Buta (BSW), Pengawasan Pandangan Sekeliling (IAVM)
- Amaran Pelanggaran Berdepan Pintar (IFCW), Bantuan Mula Mendaki (HSA)

Lagi kelengkapan yang ada seperti Tali Pinggang Keledar dengan Penghad Beban dan Prategang dan Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC).
Turut dilengkapi Pembahagian Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA). Sejumlah enam beg udara dilengkapi pada semua varian.
Berikut varian dan harga Nissan Almera 2023 di Thailand:
- Almera E: 549,000 Baht (RM72,440), Almera EL: 589,000 Baht (RM77,718)
- Almera V: 659,000 Baht (RM86,955), Almera VL: 699,000 Baht (RM92,241)

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Foto: Nissan