Menurut laporan Reuters, presiden yang juga merangkap pengasas bersama Nio, Qin Lihong mendedahkan syarikat itu akan mewujudkan kira-kira 1,000 stesen penukaran bateri menjelang 2025 di luar China.
Nio sudah pun membuka kilang luar negara pertama mereka di Hungary yang akan menghasilkan pelbagai jenis produk kuasa, termasuklah stesen penukaran bateri.
"Kami kini mendahului kebanyakan pesaing dari segi produk dan perkhidmatan. Benar, terdapat banyak model EV yang akan dilancarkan di Eropah dalam masa tiga tahun, namun kami telah mencapai lebih banyak kemajuan.

Nio percaya strategi bateri yang dijalankan pada ketika ini memberikan mereka kelebihan dengan mengasingkan bateri daripada kos pemilikan.
Teknologi penukaran bateri Nio terbukti menawarkan kaedah alternatif kepada cara pengecasan konvensional, selain memindahkan kos dan risiko kepada syarikat, bukan kepada pemilik individu.
Selain itu, Nio turut menubuhkan sebuah syarikat yang turut disertai oleh firma bateri CATL di China, di mana pek bateri boleh dibeli secara pajakan dan syarikat itu akan mengutip yuran langganan daripada para pemilik Nio.
Tambah Qin, Nio kini sedang mencari rakan kerjasama di Eropah untuk membiayai pemilikan bateri menerusi program pajakannya.

Nio sebelum ini sudah pun bertapak di Norway dan berjaya menjual kira-kira 800 unit SUV elektrik ES8 selain membangunkan dua stesen penukaran bateri pada tahun lalu.
Pengembangan jenama tersebut di Eropah akan diteruskan dengan pelancaran dua buah model baharu iaitu sedan ET5 dan ET7 yang dijangka akan berlangsung pada tahun ini.
Sumber: Reuters