Kelakar tetapi seperti yang dilakukan oleh Ferrari dan Lamborghini, semakin banyak komponen dibuang untuk meringankan kenderaan itu, semakin mahal pula harganya walhal kelengkapan semakin kurang.
Apapun, bagi sebuah syarikat motosikal yang antara terbesar di dunia, Kawasaki perlu melakukan lebih dari penggantian komponen sahaja.
Model lazim mereka, Ninja 650 contohnya, memang popular di seluruh dunia sebagai sebuah jentera harian atau untuk seorang "hobbyist".
Jadi bagaimana caranya untuk menghasilkan model terbaharu Ninja itu?
Apa yang Kawasaki lakukan ialah lebih dari menakjubkan - ia membuat keputusan untuk merombak semuanya sekali dan bermula dari sehelai kertas kosong.
Dari kerangka serba baharu, enjin yang lebih dinamik dan pengendalian yang serba selesa, Careta senaraikan apa yang perlu anda ketahui selepas Careta menunggang uji sendiri model ini untuk beberapa minggu.
Nama baharu
Jika dahulu model ini dinamakan ER-6f, model terbaharu dipanggil Ninja 650.
Ini ialah kerana Kawasaki mahu memberitahu bahawa ia bukan model Z650 dengan fairing, tetapi ia mempunyai karektor yang sendiri.
Rekabentuk fairing gaya ZX-10
Fairing yang digunakan mempunyai rekabentuk yang mirip kepada abangnya, ZX-1000 ABS
Sayang sekali kerana fairing penuh ini menyorokan kerangka "trellis frame" yang cantik itu.
Dari segi keseluruhan, memang Ninja 650 nampak sporty, apa lagi dengan brek depan cakera berkembar.
Cuma ada dua warna garang diberikan - hijau (Special Edition) dan oren (grafik lebih ringkas), dan keduanya memang sporty sehingga ada yang tertanya adakah ini pengganti Ninja ZX-6R!
Enjin sama tapi tak serupa
Enjin 649 cc yang digunakan pada dasarnya masih menggunakan konsep dua silindir sejajar dengan sejukan cecair, teknologi DOHC dan empat injap untuk setiap silinder.
Perubahan pada sistem pancitan bahan api atau EFI mnejadikan hantaran tenaga lebih lancar atau linear.
Menurut laporan saudara Mohan K Ramanujam dari Paul Tan, injap-injap pada pendikit berkembar baharu itu yang memperbaiki graf hantaran bahan api bagi kelancaran hantaran tenaga.
Ini penting kerana semasa pendikit dipulas penuh, enjin terus menghantar tenaga dengan segera tanpa sebarang "rasa kosong" di antaranya.
Bunyinya kecil tetapi bila anda perlu memecut untuk memenuhkan ruang di antara kenderaan-kenderaan di dalam bandar, anda boleh agak berapa deras pecutan yang anda akan terima.
Sudut engkol 180-darjah
Enjin 650 cc kembar ini juga mempunyai sudut engkol 180-darjah, bermakna bila satu piston sedang naik, satu lagi dalam keadaan menurun.
Kebanyakan enjin selinder kembar mempunyai sudut engkol 360-darjah, bermakna kedua-dua piston naik dan turun serentak.
Faedah dari sudut engkol 180-darjah ini ialah Ninja 650 ABS ini mudah dan "ringan" untuk dibawa dalam RPM tinggi.
Ini penting kerana kuasa maksimum 68 PS itu pada 8,000 RPM.
Nasib baik juga tork atau daya kilas maksimum terhasil pada kelajuan enjin yang lebih rendah, iaitu 65.7 Nm pada 6,500 RPM.
Lebih dari cukup untuk menjadikan Ninja ini ligat kerana beratnya cuma 193 kg.
Gegaran kecil
Memang ada rasa gegar sedikit bila RPM mula menjalar di sekitar 7,000 ke 8,000 RPM tetapi jurutera Kawasaki bijak sekali untuk menangani masalah ini. Sebenarnya, ia bukan gegeran tetapi lebih kebada getaran harmonik yang terjadi dari enjin.
Apa yang Kawasaki lakukan ialah dengan menambahkan berat pada pengimbal hendal dan juga pemberat pada tempat kaki (hero knob).
Hasilnya, getaran itu berlaku bila enjin diperah tinggi dan hanya terasa pada pelana.
Satu masalah kecil tetapi mungkin membuatkan anda yang berusia atas 40 tahun lebih kerap berhenti kencing.
Careta pernah merasai motosikal yang memang lebih teruk getarannya dan tidak ada cara penyelesaian.
Kerana itu hati-hati bila membeli motosikal - jangan menang membeli alah memakai - Kawasaki mempunyai barisan juruteknik dan jurutera di seluruh dunia untuk berkongsi penyelesaian dan melakukan ujian.
Kerangka ringan, kuat dan mantap
Kerangka dan sistem gantungan Ninja 650 ini ialah satu loncatan drastik dari model sebelumnya.
Pada tunggangan pendek dan perlahan, anda boleh rasakan ia lebih selesa.
Bila diajak bermain, lengan ayun atau swingarm belakang yang lebih ringan itu mula memainkan peranan.
Bila dikaji, roda aloi juga diringankan dan ini mengurangkan beban off-sprung, membolehkan sistem gantungan bekerja dengan lebih efisen.
Sistem gantungan ringkas tetapi berkesan
Fork teleskopik 41 mm di hadapan memang tidak dapat dilaraskan, sementara gantungan dibelakang boleh dilaras untuk preload sahaja.
Ini motosikal ringkas, maka ia mempunyai setup yang lebih memadai untuk tunggangan harian.
Posisi menunggang imbangkan ciri sporti dan selesa
Ini adalah satu keputusan yang penting - kerana ia sebuah Ninja, ia tidak boleh mempunyai posisi tunggangan setegak Versys.
Ia juga tidak boleh terlalu mirip kepada motosikal naked - Z650.
Pilihan Kawasaki ialah ditengah-tengah - seperti Ninja 1000 ABS.
Pelana dan tempat kaki rendah, tetapi pemijak kaki itu dibawa ke depan sedikit agar kaki tidak terlalu bengkok seperti sports bike tulen.
Dan pelana itu juga ramping, membolehkan ramai penunggang mencapai kaki dengan penuh pada tanah bila berhenti.
Tuil brek dan klac juga adalah jenis bolehlaras, yang menambahkan lagi ciri mesra pengguna pada Ninja 650 ABS ini.
Panel meter juga penuh dengan informasi dan mudah untuk dilihat - tidak terlalu penuh dengan segala macam butang, lampu dan skrin. Sekali imbas, sudah tahu berapa kelajuan enjin, kelajuan kenderaan dan baki bahan api.
Tangki baharu itu pula berlekok pada tempat yang "sedang molek" untuk kebanyakan penunggang Malaysia.
Ia membenarkan peha "menggenggam" tangki untuk keyakinan, dan bila mahu memecut, bentuk organik pada tangki ini membolehkan penunggang membongkok sedikit dan "memeluk" tangki.
Jauh beza dari ER6-F lama yang terasa seperti patung "blow-up Suzie" kejung yang tidak mahu berkompromi.
Saiz yang lebih mesra
Satu perkara akan Ninja 650 ABS ini ialah saiznya yang sebenarnya, lebih kecil.
Ia tidak bermaksud motosikal ini nampak kerdil, tetapi kerana ia ramping, ia terasa seperti sebuah jentera 250.
Jangan risau, tidak ada yang akan berkata anda menunggang motosikal lesen kecil (250cc) kerana dimensi Ninja 650 ABS ini tetap panjang dan saiz tayar serta enjin masih nampak besar tetapi kerana ia ramping, ia mudah dipeluk dan bila ia mudah dipeluk, anda akan lebih yakin untuk "melayan" selekoh-selekoh di jalanraya.
Brek Nissin + ABS dari Bosch = KEYAKINAN
Ninja 650 ABS datang dengan brek hadapan sepasang cakera bersaiz 300 mm dan angkup Nissin dua piston. Brek belakang pula cakera bersaiz 220 mm dengan angkup Nissin dengan dua piston.
Tipulah jika kami berkata ia hebat. Kami rasa, prestasinya sedang-sedang kerana Ninja ini bukannya ZX-6RR.
Yang penting ialah cara ia menggigit dan kekuatan membrek, yang masih dalam lingkungan boleh diterima.
Sistem brek ABS juga membantu, seperti yang kami cuba pada permukaan berpasir pada kelajuan sederhana, semasa menunggang pada satu garisan lurus.
Lampu ABS berkelip-kelip menandakan ia berfungsi.
Kepada yang masih tidak faham fungsi ABS, ia menghalang roda dari terkunci terus - satu kejadian yang sering terjadi pada lantai licin di stesen minyak semasa hujan dan jika roda hadapan dalam keadaan membelok, anda boleh saksikan secara "live" motosikal yang belum habis dibayar rebah mencium bumi dengan bunyi yang lebih menyayat hati dari skrip drama Samarenda.
Jangan tanya macam mana Careta tahu.
Satu lagi tambahan ialah slipper clutch yang digunakan pada Ninja 650 ABS ini.
Ini bermakna jika kita turun kepada gear yang terlalu rendah, roda belakang tidak terkejut dan mengganggu imbangan jentera. Sangat bahaya jika dilakukan pada jalan licin selepas hujan.Secara ringkasnya ...
Ada yang berkata kuasa itu penting, tetapi percayalah, Careta dengan Ninja 650 ABS ini masih mampu mengekor rapat sportsbike 1-liter dengan penunggang biasa di kawasan berbukit sekitar Negri Sembilan.
Yang penting, enjin, brek dan sistem gantungan serta kerangka yang menurut perintah penunggang.
Itu jauh lebih penting dari motosikal berkuasa 1,000 hp tetapi sentiasa berada di luar kawalan penunggang.
Tapi bak kata pepatah Melayu, "ego mesti lebey maaa".
Untuk mereka yang mahukan sebuah motosikal harian untuk perjalanan dekat atau jauh, Ninja 650 ABS datang dengan pengendalian yang baik dan selesa, enjin yang responsif serta sistem ABS yang penting.
Pada harga bermula dari RM37,189 (tanpa insuran dan cukai jalan), Ninja 650 ABS ialah satu belian bijak dan dengan rangkaian pusat servis dan waranti kilang yang lengkap, anda tidak perlu risau menjaganya.
Tulisan dan fotografi: Hezeri Samsuri
Spesifikasi
- Enjin: 649cc, sejukan cecair, 4-lejang, 2 silinder sejajar, DOCH, 8 injap, dua throttle body EFI
- Tenaga maksimum: 68 PS pada 8,000 rpm
- Tork maksimum: 65.7 Nm pada 6,500 rpm
- Transmisi: 6-kelajuan dengan klac basah manual
- Tayar depan: 120/70 ZR 17MC (58W)
- Tayar belakang: 160/60 ZR 17MC (69W)
- Brek depan: Dual semi-floating 300 mm petal discs
- Kaliper depan: Dua piston Nissin
- Brek belakang: Single 220 mm petal disc
- Kaliper belakang: Single piston Nissin
- Berat: 193 kg
- Saiz tangki: 15 liter