Nilai Medical Centre tawar ujian pemeriksaan COVID-19 'drive thru'

oleh Mohamad Hanif|
Pusat Perubatan Nilai menjadi hospital swasta kedua di Negeri Sembilan yang menawarkan ujian pemeriksaan COVID-19 secara pandu lalu kepada masyarakat selepas langkah sama diambil Pusat Perubatan Mawar di Seremban.

Pusat perubatan itu dalam kenyataan hari ini turut menawarkan keputusan ujian pemeriksaan yang cepat, iaitu sekitar 48 jam, dengan kadar bayaran RM580 manakala RM500 bagi warga emas dan petugas kesihatan.

"Jangka masa yang cepat ini akan membolehkan mereka yang berkeputusan negatif menarik nafas lega selain membolehkan tindakan perubatan dilaksanakan dengan segera terhadap mereka yang positif.

"Dengan peningkatan jumlah kes COVID-19, ujian pandu lalu yang mengambil masa 10 minit ini akan menggalakkan orang ramai melakukan ujian sekiranya mereka bimbang atau mengesyaki bahawa mereka mungkin telah terdedah kepada virus itu," kata kenyataan itu.

Perkhidmatan yang beroperasi pada Rabu hingga Jumaat itu bermula 2 petang hingga 5 petang bertujuan menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia menambah baik pengesanan, pengasingan dan rawatan bagi mengurangkan penyebaran wabak COVID-19.

Mereka yang ingin melakukan ujian pemeriksaan berkenaan boleh menghubungi pusat berkenaan di talian 06-8505100 atau e-mel [email protected] untuk tempahan slot.- BERNAMA