Nidec ada formula untuk jadikan EV yang lebih mampu milik

oleh Mohamad Hanif|
Mungkin nama Nidec itu sendiri tidak pernah didengari oleh kebanyakan kita, namun Nidec Corp. merupakan syarikat pembekal utama dunia yang menghasilkan motor untuk pelbagai jenis kegunaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dalam satu kenyataan terbaharu, syarikat perusahaan kesembilan terbesar di Jepun itu menyatakan mereka mampu menghasilkan satu komponen penting bagi menjadikan pemilikan EV yang lebih mesra poket.

Menurut presiden dan COO Nidec, Jun Seki menjelaskan, "saya mahu mengadakan perbincangan dengan Elon Musk (untuk menghasilkan EV yang lebih mampu milik).

"Tanpa rakan kongsi luar, hasrat Elon Musk untuk menghasilkan 20 juta EV setahun menjelang 2030 sukar untuk dicapai," tambah beliau lagi.

Komponen yang dimaksudkan itu adalah sistem E-Axle yang menggandingkan motor elektrik, gear, dan inverter ke dalam satu pakej tunggal yang lebih kompak dan efisien.

 


Untuk menghasilkan komponen tersebut serta mendapatkan sumber dan teknologi yang diperlukan, Nidec bersedia untuk melaburkan sehingga ¥1 trillion (RM39.24 billion) untuk proses penggabungan dan pengambilalihan yang diperlukan.

Dengan adanya teknologi tersebut, Nidec berupaya untuk menawarkan Tesla (serta pengeluar EV yang lain) produk motor elektrik yang hanya menelan belanja kurang dari $1,000 (RM4,047) dalam masa kurang lima tahun, berbanding kos sedia ada yang mampu mencecah $2,000 atau lebih.

Seperti yang diperkatakan, kebanyakan pengguna tidak mengetahui bahawa nama Nidec sebenarnya merupakan salah satu nama yang cukup besar di dalam industri motor elektrik global, dengan penghasilan melebihi 3 billion motor setahun.

Malah, 85 peratus daripada pemacu keras di atas dunia ini menggunakan komponen motor Nidec, dan separuh daripada pasaran dunia untuk motor tanpa berus (brushless motor) yang boleh dijumpai dalam pendingin hawa sehinggalah kepada robot kilang.

 


Selepas pek bateri, motor elektrik merupakan antara komponen yang paling mahal di dalam binaan sesebuah EV, namun menurut Seki lagi, "dengan langkah untuk produksi massa, kos penghasilan tersebut akan menurun dan ia lebih menjadi lebih mudah untuk melawan pesaing-pesaing."

Langkah seterusnya yang bakal diambil oleh Nidec adalah menawarkan platform EV yang hampir lengkap kepada pengeluar automotif yang lain.

Ini kerana menurut Seki, terdapat permintaan untuk pakej tersebut daripada pendatang baharu di dalam sektor tersebut yang lebih memfokuskan kepada pakej dalaman dan penggayaan luaran.

Selain daripada Nidec, beberapa pengeluar automotif turut sama membangunkan sistem yang serupa, seperti Nissan (E-4orce) dan General Motors.

 


Tesla - walaupun dengan nilai yang jauh melangkaui beberapa jenama automotif besar dunia - syarikat California itu hanya menghasilkan kira-kira 500,000 unit kenderaan sahaja, atau kurang 1/10 daripada apa yang diproduksikan oleh Toyota.

Pun begitu, Tesla dipercayai akan membangunkan dan menghasilkan sendiri motor elektrik untuk Model S, Model 3, Model X, dan Model Y.

Dengan pembinaan kilang baharu bertempat di Texas dan Jerman sebagai tambahan kepada kilang di California dan China, Elon Musk dalam satu kenyataan percaya Tesla akan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Sumber: The Japan Times