Dalam kejadian yang berlaku pada 15 Mac di Halifax County, North Carolina, Tillman Mitchell, 17, pelajar sekolah Haliwa-Saponi Tribal School di Hollister itu baharu sahaja turun dari bas sekolah dan sedang melintas jalan sebelum dilanggar oleh EV tersebut.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, dan dilapor berada di dalam keadaan stabil dua hari selepas insiden.
Menurut State Highway Patrol, pemandu Tesla berusia 51 tahun itu disyaki sedang mengaktifkan Autopilot memandangkan beliau gagal memberhentikan kereta biarpun bas tersebut sudah pun memaparkan semua peranti amarannya.
Sejak tahun 2016, NHTSA telah menghantar pasukan penyiasat untuk meneliti kes-kes kemalangan melibatkan sistem Autopilot atau Full Self-Driving Tesla. Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh di dalam kemalangan.

Pada Mac lalu, sebuah Tesla Model S dilapor merempuh sebuah trak bomba di Contra Costa County, California yang mengakibatkan pemandu Tesla tersebut maut, sementara penumpangnya cedera parah. Empat anggota bomba yang berada di tempat kejadian mengalami kecederaan ringan.
Menurut laporan pihak berkuasa, sebelum kejadian kesemua lampu amaran trak bomba itu telah dinyalakan, dan ia diparkir secara menyerong di atas lebuh raya untuk melindungi responden yang terlibat dalam satu kemalangan terdahulu yang tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
Sumber: Autoblog