Nezha S Yaoshi - 999 unit sahaja, hadir dengan bukaan pintu ala Lambo

oleh Mohamad Hanif|
Dua bulan yang lalu, jenama EV Nezha yang ditubuhkan oleh Hozon Auto memperlihatkan sebuah model sedan elektrik yang dikatakan mampu memberikan saingan kepada Tesla Model S, iaitu Nezha S.

Kini, pengeluar itu memperincikan spesifikasi yang bakal ditawarkan di pasaran China, serta pengenalan sebuah model edisi terhad "Yaoshi" yang hadir dengan pintu gunting seperti supercar Lamborghini.

Dari segi spesifikasi, Nezha S bakal ditawarkan dengan varian elektrik bateri (BEV) diikuti dengan varian penambah jarak (EREV).
 

Nezha


Versi pacuan semua roda mendapat tetapan motor elektrik berkembar berkuasa 456 hp, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 170 km/j.

Kapasiti bateri tidak didedahkan, namun sedan AWD ini mampu menawarkan jarak operasi sejauh 650 km (data CLTC).

Dalam masa terdekat, Nezha S juga boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.9 saat, serta jarak operasi CLTC yang lebih jauh, 715 km.

Varian range-extender pula mampu menaikkan angka tersebut kepada 1,100 km.

Baca: Nezha S

 

Nezha


Nezha juga akan melancarkan varian edisi khas "Yaoshi" yang menampilkan ciri unik seperti bukaan pintu gunting macam model Lamborghini, roda aloi rekaan baharu dengan layangan warna hitam, diikuti dengan angkup brek berwarna hijau.

Pembeli boleh memilih tiga warna menarik iaitu Magic Night Black, Extreme Night Green atau Rushing Silver, di mana produksi model Yaoshi ini terhad kepada 999 unit sahaja.

Antara kelengkapan standard termasuklah sistem pencahayaan LED, bumbung panorama, skrin kluster instrumen 13.3 inci, skrin infotainmen gergasi 17.6 inci, skrin ketiga untuk penumpang bersaiz 12.3 inci, sokongan paparan head-up serta sistem audio dengan 21 pembesar suara berkuasa 1,216 watt.

Berdasarkan laporan terdahulu, Nezha S juga hadir dengan teknologi pemanduan autonomi Tahap 4 yang menampilkan 13 unit kamera, 12 penderia ultrasonik, radar bergelombang 5 mm, dan dua unit LIDAR.
 

Nezha


Harga jualan bermula dari 338,800 yuan, di mana pembeli bakal menikmati pengecasan percuma 2,000 kWh setahun menggunakan jaringan pengecasan yang disediakan oleh Nezha.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Boleh dikatakan, tiap kali timbul berita menarik dari negara tersebut, pasti akan ada satu dua…