Nasrul - restorasi motosikal jana pendapatan sampingan

oleh HEZERI SAMSURI|
Hobi ialah sesuatu yang kita lakukan kerana minat, dan seringkali hobi berjaya mengisi masa lapang kita tetapi ia tidak mengisi poket yang semakin lapang.

Untuk Muhammad Nasrul Mokhtarrudin, 39, hobi beliau sekarang mampu menjana pendapatan sampingan untuk beliau sekeluarga.

Hobi restorasi motosikal yang beliau anggap sebagai pengisi masa lapangnya kini semakin popular kerana hasil tangan beliau yang teliti, halus dan kemas.
BEFORE 1

 

Beliau juga pandai dalam menjimatkan kos restorasi luaran motosikal - mana yang boleh diperbaiki akan dibaiki. Paling penting, Nasrul tahu di mana alat ganti terpakai atau third party boleh didapati dengan harga yang menarik.

Berasal dari Pantai Remis, Perak, pegawai logistik untuk anak syarikat TNB ini sudah lama mempunyai minat dalam kereta dan motosikal. 

"Motosikal pertama saya ialah Yamaha RX-Z yang saya gunakan untuk pergi ke kelas di Politeknik Ipoh," terang Nasrul. 

"Kereta pertama saya diberikan oleh ibubapa saya - sebuah Volkswagen Beetle tahun 1968. Ia sering rosak dan saya belajar membaikinya sendiri," sambung bapa kepada dua orang cahaya mata itu.

"Beetle itu saya gunakan untuk pergi ke pejabat dan saya banyak belajar asas membaiki kenderaan ketika menggunakannya."

 

 

Sejak itu, Nasrul mula bertukar-tukar kenderaan dan sekarang ini beliau mempunyai sebuah Honda Civic FD, sebuah Honda Accord Euro yang direstorasikannya sendiri, sebuah Yamaha 135LC, sebuah BMW R1200 GS dan ya, Yamaha RX-Z yang mungkin mengingatkan beliau kepada RX-Z pertama beliau itu.

Nasrul masih menjadikan kenderaan itu hobinya.

 

Accord Euro

 

"Saya mula berniaga secara kecil-kecilan menjual barang-barang kedai potong kepada kawan-kawan atau sesiapa yang mahukannya. Saya pastikan komponen yang saya perlukan dan beli dari kedai potong, kemudian saya jual," ujar Nasrul.

Dari aksesori JDM kepada sistem audio, alat ganti sistem gantungan, panel badan JDM dan pelbagai lagi barangan terpakai dari Jepun untuk Daihatsu Mira dan model-model Mitsubishi/Proton, Nasrul memang boleh mencarinya.

 

 

Selepas menjual, beliau belajar cara-cara untuk memasang komponen tersebut. Kemahiran itu dipelajarinya dari rakan-rakan di bengkel dan kemudian seorang demi seorang rakan yang mengetuk pagar rumah meminta beliau membantu mereka memasang aksesori atau alat ganti pada kereta mereka.

Sejak tahun 2014, Nasrul menggunakan kawasan laman rumah sebagai "bengkel sementara". Dua tahun di situ, Nasrul mengorak langkah dengan menyewa sebuah kedai kecil di kawasan kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh.

"Itulah sejarah tertubuhnya Mix Motorsport," kata Nasrul tersenyum mengingatkan kepada awal-awal pembabitan beliau.

 

 

Mix Motorsport, menurut beliau, masih lagi satu kerja sampingan. Beliau akan bekerja seperti biasa dan selepas Isyak, beliau akan ke bengkelnya untuk menyambung kerja-kerja ke atas kenderaan pelanggan beliau.

Buat masa sekarang, Mix Motorsport lebih bertumpu kepada kerja-kerja restoration (pemulihan) motosikal lama, mengecat, membuat aksesori custom dan juga lain-lain kerja yang lebih ke arah nilai astetik kenderaan itu.

"Saya tidak buat enjin. Itu saya akan berikan kepada rakan mekanik saya yang tinggal di tempat lain. Ada banyak mekanik bebas sekarang ini dan saya hanya pilih yang terbaik," sambung Nasrul.

Antara motosikal yang biasa dilakukan oleh Nasrul ialah BMW R1200 GS dan juga Yamaha RX-Z.

 

 

Kami pernah meminta Nasrul untuk memberikan nafas baharu kepada projek restorasi BMW R1200 GS tahun 2005, model pertama generasi GS dengan enjin boxer 1,200 cc.

Apa yang dilakukan oleh Nasrul ternyata melebihi jangkaan kami. Keseluruhan Unta Jerman itu diturunkan dan setiap satu dikaji, dibersihkan dan kemudian dicat untuk kelihatan serba baharu.

Bahagian komponen plastik juga dibuka dan digosok serta dicat supaya kembali segar di mata pemilik. 

Malah idea kami untuk mengecat motosikal lama ini dan kemudian menjualkannya terbantut kerana setelah siap kerja baik pulih badan GS ini, kami sendiri jatuh cinta kembali kepada motosikal adventure itu.

 

 

Oleh kerana beliau tidak mempunyai pekerja, Nasrul mengambil masa dua minggu untuk membuat kembali BMW itu. Nyata setiap pelusuk motosikal itu diperiksa dan dicat semula. Siapa sangka besi pelindung lampu hadapan dan juga lampu itu sendiri dibersihkan sehingga benar-benar nampak segar!

Kemudian, warna putih yang sudah lama itu ditukar kepada gabungan warna biru dan pelekat grafik ala-ala R1200 GS sejukan udara model terkini.

Kami pernah melakukan proses restorasi sebelum ini dan keputusannya sering mengecewakan - selepas beberapa bulan siap, cat didapati mudah terkopek dan tercalar. 

Tidak dengan Nasrul kerana pada beliau, motosikal disiapkan dengan cara terbaik, seolah-olah ia miliknya sendiri. 

 

 

Sekarang ini, Nasrul banyak melakukan kerja-kerja restorasi untuk Yamaha RX-Z.

"Motosikal pertama saya ialah RX-Z, jadi Alhamdulillah, saya tahu bagaimana mahu melakukan kerja-kerja pembaikan untuk bahagian luarannya. 

Bahagian enjin, saya ada rakan mekanik yang datang membantu. Saya lebih fokus kepada bentuk luaran dan kemasan motosikal itu," terangnya secara jujur.

 

 

Bukan mudah untuk mencari seorang pakar restorasi seperti Nasrul sebenarnya kerana beliau masih menganggapkannya sebagai sebuah kerja seni, bukannya untuk keuntungan semata-mata.

Dan kerana kami merasai sendiri mutu kerja beliau, maka dengan itu kami berbangga untuk berkongsi "lubang" restorasi ini kepada pembaca Careta. Harga juga boleh dibincangkan mengikut bajet masing-masing.

Untuk hubungi beliau, hantarkan Whatsapp kepada +60 13-667 4383. Jika hendak melihat lagi projek beliau, lawati Facebook Mix Motorsport .

Jika anda sudah mula bosan dengan motosikal anda, cuba hubungi Nasrul.  Mana tahu, bila sudah dibuat restorasi, cinta lama berputik kembali? 

 

 

 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Nasrul yang memiliki bengkel motosikal Mix Motorsports di Saujana Utama, Sungai Buloh ini,…
Gaya Hidup
Namun, pegasas kepada jenama Aimé Leon Dore, Teddy Santis rupa-rupanya merupakan seorang pemilik…
Informasi
Pada 5 Ogos, 2014, Pengurus Koleksi Kereta Klasik untuk Muzium Porsche, Alexander Klein menerima…