Pakar penganalisa industri berkata walaupun jumlah itu seperti tidak masuk akal tetapi ada kemungkinan pemiutang dan pembekal akan menerima tawaran itu kerana jika AAX diisytiharkan muflis, mereka tidak akan mendapat apa-apa langsung.
Raymond Yap, penganalisa CGS-CIMB yang ditemuramah oleh The Star juga berpendapat apa yang ditawarkan oleh AAX itu adalah "adil dan setimpal".
"Apa yang berlaku ialah AAX meminta pemiutangnya untuk menerima tawaran pemotongan sebanyak 98 peratus dari jumlah RM9.2 bilion yang sepatutnya dibayar kembali. Ini bermakna untuk setiap RM100 dipinjamkan ke AAX, ia akan membayar balik cuma RM2 dalam tempoh lima tahun pada kadar faedah 2 peratus," terang Raymond.
AAX juga dikatakan iakan meminta pembekalnya untuk "melupakan" bayaran tambahan RM54.3 bilion - jumlah yang datang dari komitmen pembelian dari Airbus, jumlah gantirugi dan penalti kerana penamatan awal untuk pelbagai kontrak.
Penganalisa lain juga bersetuju kerana industri penerbangan sedang menerima cabaran paling hebat.
"Penerbangan tidak boleh dilakukan, bagaimana industri itu hendak mencari pendapatan?" ujar seorang penganalisa yang tidak mahu dikenali.
Oktober lalu pengasas AAX, Tan Sri Tony Fernandes berkata kepada media bahawa tidak ada sesiapa yang mahu melakukan pemotongan pembayaran hutang.
"Kita berada di dalam tempoh getir. Jika syarikat ini muflis dan anda menerima kembali 30 buah kapal terbang, apa yang anda boleh lakukan dengan sejumlah besar kapal terbang itu," soalnya.
AAX bukan satu-satunya syarikat penerbangan yang menerima padah akibat Covid-19. Syarikat Penerbangan Malaysia, MAS turut berada dalam kemelut kewangan kronik dan kerajaan sudah mengumumkan ia tidak akan mengeluarkan lagi dana untuk menyelamatkannya.
Syarikat penerbangan asing seperti Singapore Airline dan Thai Airways juga masing-masing terpaksa menunggu bantuan kerajaan untuk terus kekal relevan.
Nasib industri penerbangan kini bergantung kepada kerajaan-kerajaan negara yang menjaga pintu-pintu sempadan masing-masing.
Selagi pintu sempadan tidak dibuka, selagi itu syarikat-syarikat penerbangan ini akan menggigit jari dan memujuk pemiutang-pemiutang mereka.
* Berita dipetik dari The Star