Nano Cellulose Vehicle - supercar paling mesra alam (dan paling perlahan..)

oleh Mohamad Hanif|
Bertempat di acara Tokyo Motor Show 2019, terdapat sebuah model supercar yang sedang dipamerkan hasil gabungan kajian daripada 22 buah universiti, institut kajian dan syarikat korporat Jepun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Projek yang dilancarkan pada tahun 2016 itu dinamakan sebagai Nano Cellulose Vehicle (NCV) dan ia merupakan kajian terhadap penggunaan bahan nanofiber selulosa (CNF) untuk tujuan kegunaan didalam industri automotif. 

 


Bahan nanofiber selulosa ini diambil daripada tumbuhan dan sisa bahan agrikultur yang dikitar semula dan ia banyak digunakan pada komponen seperti pintu, bumbung dan juga hud enjin. 

Malah, CNF ini juga turut digunakan di dalam struktur utama kerangka kenderaan itu sendiri. 

Dengan penggunaan bahan ini, ia mampu menjadikan berat keseluruhan 50 peratus lebih ringan berbanding penggunaan bahan tradisional. 
 


Sementara itu, reka bentuk luaran supercar ini merupakan hasil kerja tangan Yuzo Niimi dari Toyota Customizing & Development yang merupakan sebahagian daripada ahli konsortium. 

Dari segi luaran, ia menampilkan reka bentuk yang agak tajam, penggunaan pintu jenis rama-rama, rim berbilang batang, lampu utama yang agresif serta diffuser yang besar. 
 


Bahagian dalaman pula banyak menggunakan unsur kayu dan tidak salah untuk kami katakan, ia sebenarnya menggambarkan unsur-unsur Jepun yang biasa kita lihat seperti corak bunga Sakura dan balutan stereng yang menyerupai hulu pedang Samurai. 

Butiran lanjut berkenaan trenkuasa supercar ini tidak didedahkan sepenuhnya walaupun ia dikatakan tampil dengan teknologi sel bahan api hidrogen dan kelajuan maksimum yang dihadkan pada 20 km/j sahaja....