Nak kenal logo Mazda? Ini kisah dari tahun 1934!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mazda
Mazda
Sama seperti banyak pengeluar kenderaan lain, Mazda pada asalnya bukanlah syarikat automotif.

Persamaan di antara syarikat-syarikat lama ini ialah mereka bermula sebagai pengeluar produk atau sudah bergelumang di dalam industri pembuatan.

Mazda Motor Corporation ditubuhkan pada 30 Januari 1920 sebagai Toyo Cork Kogyo Company yang menghasilkan gabus (cork) untuk gasket, penebat (insulation) dan bahan-bahan kusyen.

Pada masa itu syarikat belum menghasilkan kenderaan massa sehinggalah tahun 1931 apabila Mazda-Go dikeluarkan sebagai sebuah trak atau motosikal roda tiga.

Perjalanan di dalam industri automotif memakan masa, 29 tahun selepas itu baru Mazda mengeluarkan kereta penumpang pertama yang dikenali sebagai R360 coupe pada tahun 1960. 
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
1920_01 - Mazda 100 Years - Toyo Cork Kogyo Co. Ltd. is founded in Hiroshima, Japan. Shinpachi Kaizuka becomes president (3)

 

Sebagai sebuah syarikat dengan cita-cita global, eksport pertama ke Eropah bermula tujuh tahun selepas itu dan fasa berikutnya adalah sejarah penting dengan mencatat rekod di dalam bidang kejuruteraan dan permotoran.

Mazda adalah jenama Jepun pertama menjuarai perlumbaan Le Mans 24 Jam, menawarkan secara komersial enjin rotary melalui Cosmo Sport 110S dan mengeluarkan MX-5, roadster dua tempat duduk terlaris di dunia.

Sekarang ini kita boleh lihat pencapaian teknologi Skyactiv dan melalui enjin Skyactiv-X, Mazda memperkenalkan enjin produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi Spark-Controlled Compression Ignition.

 

Mazda Cosmo Sport 110 S, 1967
Mazda Cosmo Sport 110 S, 1967

 

Sebagai sebuah syarikat yang melalui perjalanan seratus tahun, logo korporat dan kenderaan Mazda turut berubah.

Sempena satu dekad tersebut, Mazda mengeluarkan logo khas dan digunakan pada model khas 100th Anniversary Mazda3, Mazda CX-30 dan Mazda MX-5 di United Kingdom. 

Rekaan khas itu menampilkan logo Mazda sedia ada di atas logo bulat Toyo Kogyo Company.

Berikut kami bawakan sejarah ringkas Mazda dan perubahan logonya:

Permulaan

 

Logo Toyo Cogyo

 

  • Diasaskan pada tahun 1920 apabila Jujiro Matsuda pulang ke bandar asalnya Hiroshima selepas berjaya di dalam karier kejuruteraan di Osaka.
  • Nama Toyo Cork Kogyo ditukar kepada Toyo Kogyo pada tahun 1927 selepas perniagaan syarikat beralih kepada pengeluaran mesin.
  • Rekaan logo yang ringkas dan berkesan iaitu bulatan dan garis melintang kecil berwarna merah.
  • Jujiro Matsuda menerangkannya sebagai keinginan Toyo Kogyo untuk menyumbang kepada dunia melalui kejuruteraan dan tekad untuk terus berusaha ke hadapan.

Penampilan pertama

Mazda-Go 1931
  • Penampilan pertama nama Mazda adalah pada tahun 1934 semasa pengeluaran Mazda Go bermula.
  • Pada ketika itu syarikat memerlukan satu jenama khusus sebagai identiti baharu dan membezakannya dari perkasasan dan mesin berat.
  • Pemilihan nama itu juga hampir kepada sebutan nama keluarga Matsuda.
  • Rekaan logo adalah gayaan ringkas kepada ejaan Mazda dan dipaparkan pada sisi tangki Mazda Go.
  • Turut digunakan pada trak tiga roda Mazda sehingga tahun 1954.

Pengaruh bandar Hiroshima

Logo Mazda
  • Pada tahun 1936, Mazda mempunyai logo baharu yang diinspirasi dari lambang bandar Hiroshima.
  • Lambang bandar asal Mazda itu mempunyai tiga garisan berombak dengan latar belakang hijau yang mewakili tiga aliran delta sungai Ota di Hiroshima.
  • Logo Mazda mempunyai tiga garisan lurus dan bentuk M pada bahagian tengah.
  • Tiga huruf tersebut merujuk kepada Mazda Motor Corporation manakala bahagian tepi yang panjang mewakili sayap untuk ketangkasan (agility), kepantasan dan keupayaan untuk melonjak ke aras baharu.
  • Simbol penerbangan itu digunakan pada sejumlah varian Mazda Go dan kekal sehingga tahun 1959.
  • Serentak dengan logo bersayap itu Mazda turut memerlukan tanda jenama untuk digunakan ketika mula mengeksport trak roda tiga bermula dari tahun 1949.
  • Logo yang ringkas itu pertama kali didaftarkan di Taiwan pada tahun 1954 dan menggantikan logo berbentuk kaligrafi yang diperkenalkan pada tahun 1934.
  • Pada tahun 1959 logo tersebut didaftarkan di 21 negara di seluruh dunia.

Kereta penumpang pertama

 

Logo Mazda

 

  • Pada tahun 1960 Mazda melancarkan kereta penumpang pertama R360 yang dibina mengikut peraturan kereta mini (kei-car).
  • Ukuran panjang Mazda 360 kurang daripada tiga meter.
  • Rekaan logo yang digunakan terdiri dari bulatan ringkas dan huruf M berwarna krom dengan bahagian sisi dipanjangkan dan menyentuh bulatan tersebut.
  • Mazda 360 menerima sambutan hangat dengan jualan mencecah 4,500 unit pada hari pertama ditawarkan pada Mei 1960.
  • Pada tahun itu Mazda 360 berjaya menguasai 15 peratus pasaran domestik Jepun.
  • Logo sama turut digunakan pada Mazda P360 yang menerima sambutan lebih besar.
  • Logo ini terus digunakan sehingga tahun 1975.

Mazda Cosmo Sport

 

Logo Mazda

 

  • Model prototaip Mazda Cosmo yang dipertontonkan pada tahun 1964 menggunakan logo yang mempunyai segitiga Reuleaux seperti bentuk rotor. Logo itu berwarna merah.
  • Model produksi Cosmo pada tahun 1967 menggunakan rekaan sama tetapi dengan kombinasi warna biru pada latar belakang dan perincian berwarna perak.
  • Logo berbentuk rotor terus digunakan pada model rotary seterusnya seperti R130 Luce, RX-2 dan RX-3.
  • Model tanpa enjin rotary menggunakan versi bulat sehingga tahun 1975.

Mazda RX-7, 323 dan 626

 

Mazda-RX-7

 

  • Selari dengan trend era 70-an dan 80-an, Mazda bertukar kepada logo nama (type face) dalam bentuk ringkas dengan fokus pada huruf Z di tengah.
  • Logo Mazda itu digunakan pada sejumlah model dari kereta, trak dan van. Di antara model ikonik ialah RX-7, 323 dan 626.
  • Era itu juga merupakan tempoh perkembangan pesat Mazda dan turut digunakan untuk pengiklanan, identiti korporat dan pada bangunan serta rangkaian pengedar.
  • Digunakan sehingga tahun 1997 dan mempunyai persamaan ketara dengan logo pada hari ini.

Logo bentuk berlian dan Renault

 

Logo Mazda

 

  • Hasrat untuk kembali kepada lambang berbentuk logo bermula pada tahun 90-an dan pada tahun 1991 Mazda memperkenalkan rekaan bentuk berlian di dalam bulatan.
  • Bentuk itu seperti sayap dan matahari dalam lingkaran cahaya.
  • Tahun berikutnya bahagian bucu berlian diubah bagi membezakannya dengan logo Renault.
  • Logo itu digunakan pada MX-5 generasi pertama (versi kemudian).

Sepasang sayap bentuk M

 

Logo Mazda

 

  • Pada tahun 1997 kedua-dua identiti jenama diperbaharui.
  • Tulisan Mazda yang diperkenalkan pada tahun 70-an ditukar kepada biru yang merupakan warna korporat baharu syarikat.
  • Bentuk sayap V adalah lambang kepada pertumbuhan dan kemajuan Mazda dan menggantikan bentuk berlian yang digunakan sebelum itu.
  • Ekspresi sepasang sayap yang berbentuk seperti huruf M direka bagi mewakili keinginan Mazda untuk mengejar kemajuan dan pertumbuhan berterusan dengan pemikiran fleksibel, kreativiti dan daya tahan.

Abad ke-21 dan warna perak

 

Mazda3

 

  • Pada permulaan abad ke-21, logo Mazda telah dikenali diperingkat antarabangsa.
  • Pada tahun 2015, tulisan Mazda dengan bucu huruf berwarna biru dan warna perak yang lebih terang diperkenalkan. 
  • Pada hari ini, warna perak ditonjolkan sepenuhnya dan menjadi identiti utama Mazda.
  • Logo pada hari ini turut terpampang pada kereta elektrik pertama Mazda iaitu MX-30.

Perjalanan merentasi sejarah logo Mazda dan identiti korporat mengetengahkan perjalanan satu abad inovasi dan memperlihatkan kejayaan reka bentuk dan kejuruteraan syarikat yang asalnya pembuat gabus di Hiroshima kepada syarikat pengeluar kereta global.

Logo Mazda pada hari ini mewakili sebuah jenama kenderaan yang mempunyai keunggulan kejuruteraan dan reka bentuk tersendiri dan menawan hati.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Mazda MX-30

 

Tags

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon…
Telah Diuji
Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali…
Berita Global
  Kesemuanya dipadan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda (AWD) i-…