Nak jual kereta di luar negara? Ini kisah Mazda mula dengan kecil di UK

oleh Muhammad Md Tajudin|
Mazda E-Series
Mazda E-Series
Di dalam industri automotif ada dua jenis model perniagaan utama jika hendak bertapak dan maju di luar negara.

Model pertama ialah menyerahkan hak pengedaran atau pemasangan kepada syarikat tempatan manakala kaedah kedua ialah pengeluar sendiri menubuhkan syarikat untuk urusan utama tersebut.

Kaedah kedua boleh dilakukan jika pengeluar berkeyakinan dan mempunyai sumber kewangan tinggi dan faham selok belok pasaran setempat.

Kebiasaan yang dilakukan oleh pengeluar ialah jenis pertama dan kemudian barulah melabur lebih banyak wang dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

Disebabkan itu kita boleh lihat Mazda diusahakan oleh Berjaya Auto, Kia melalui Naza dan Sime Darby membangunkan Hyundai.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
MMUK HQ

 

Tahap seterusnya ialah bagaimana beberapa syarikat antarabangsa bekerjasama dan berkongsi pemilikan dengan DRB-Hicom.

Di pasaran kompetitif seperti di United Kingdom pula bukan mudah untuk bertapak dan menjual kereta.

Banyak piawaian dan peraturan perlu dipatuhi di samping hak kepenggunaan yang tinggi.

Salah satu jenama antarabangsa yang dimulakan dengan syarikat setempat ialah Mazda dan selepas beberapa ketika baru bertapak secara rasmi.

Mazda Motors UK Ltd ditubuhkan pada 1 Ogos 2001 dan kini berada dalam ulang tahun ke-20.

Kisah perjalanan sebelum tarikh itu memang panjang dan menarik untuk dipelajari.

 

Mazda B-Series

 

Penubuhan syarikat milik sendiri sebenarnya dibuat pada lewat 90an selepas Mazda Motor Corporation mengambil keputusan untuk menghubungkan rantau Eropah secara lebih dekat dengan perniagaan utama di Jepun.

Sebesar-besar Eropah, Mazda pada ketika itu hanya mempunyai dua syarikat jualan sendiri dan selebihnya dimiliki oleh syarikat pengimport bebas.

Kisah Mazda di Eropah bermula pada tahun 1967 apabila kereta pertama diimport dan tahun berikutnya Mazda menubuhkan Mazda Logistics Europe (MLE) di Willebroek, Belgium.

Syarikat itu berfungsi sebagai hab utama bagi pengedaran kereta dan alat ganti kenderaan Mazda.

Pada tahun 1972, Mazda Motor Deutschland ditubuhkan untuk mengawal operasi secara langsung di Jerman.

 

Mazda 626

 

Pengukuhan operasi terus berjalan dan pada lewat 80-an Mazda Corporation memberi lebih perhatian dengan meningkatkan pelaburan di Eropah dan menubuhkan Mazda Motor Europe (MME) pada tahun 1989.

Mazda juga membuka ibu pejabat rantau Eropah yang terletak di Leverkusen, Jerman.

Mazda terus komited dengan pasaran Eropah dan pada tahun 1990 membuka Mazda Research Europe (MRE) di Oberursel, Jerman.

Pembukaan itu membolehkan Mazda memiliki keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pusat reka bentuk untuk pasaran Eropah yang penting.

Dengan pelaburan dan komitmen sebegitu tidak menghairankan apabila proses seterusnya ialah mempunyai hubungan secara langsung melalui syarikat jualan sendiri berbanding pengedar bebas.

UK pula merupakan pasaran kedua terbesar di Eropah dan negara itu menjadi pilihan utama.

 

MCL Group di Tunbridge Wells
MCL Group di Tunbridge Wells

 

Mazda bermula di UK dengan skala kecil pada tahun 1967 dan melalui Industria (London) Ltd., Mazda dilancarkan secara rasmi pada 30 September 1969 di Pameran Kenderaan British.

Pada tahun 1972 Industria (London) Ltd bertukar nama kepada Mazda Car Imports (GB) Ltd.

Para peringkat awal jenama Mazda tidak begitu dikenali di UK dan had import yang dikenakan ke atas kereta Jepun bermakna jualan adalah kecil.

Tahun-tahun berikutnya menyaksikan perkembangan positif apabila angka jualan ratusan unit setahun pada lewat 60-an meningkat kepada 7,000 unit menjelang hujung tahun 1973.

Mazda Car Imports (GB) kemudian menjadi sebahagian daripada syarikat MCL Group Ltd dan menikmati hak pengedaran di UK sehingga tahun 2001.

 

MMUK HQ di Dartford
Ibu pejabat MMUK di Dartford

 

Dari situ bermulanya era Mazda hadir di UK dengan lebih serius bermula. Projek penubuhan Mazda UK bermula dan pada 1 Ogos Mazda Motors UK (MMUK) ditubuhkan. 

Syarikat baharu itu bertapak di Dartford, Kent dan lokasi tersebut bukan saja-saja dipilih.

Di sini juga kita boleh lihat nilai pada kakitangan syarikat lama mempunyai kesinambungan pada syarikat baharu.

Pejabat MCL Group terletak di Tunbridge Wells manakala Ford Motor Company pula di Essex dan jarak di antara dua syarikat itu lebih kurang sama sahaja.

Pada masa itu Ford masih mempunyai pegangan di dalam Mazda dan lima pengarah ditugaskan dari Ford UK untuk berkhidmat di Mazda Motors UK Ltd.

Dua dekad berlalu dan enam dari 54 kakitangan yang mula bersama MMUK masih kekal termasuk Pengarah Urusan sekarang iaitu Jeremy Thomson.

Dalam sekumpulan kakitangan yang berada sejak awal penubuhan, 49 daripadanya dipindahkan dari MCL Group dan enam kakitangan masih berkhidmat bersama MMUK.

 

Ibu pejabat MMUK

 

Pada tahun 2001, Mazda mempunyai sejumlah model iaitu 323, 626, Demio, Premacy, MPV, Tribute, MX-5, pikap B-Series dan van E-Series.

Semasa tahun peralihan itu, Mazda hanya menjual sebanyak 14,298 unit kenderaan di UK.

Prestasi tahun berikutnya langsung berubah dengan lonjakan jualan sebanyak 27,820 unit selepas Mazda6 diperkenalkan.

Sedan itu menyumbang 6,315 unit jualan pada tahun pertama syarikat baharu beroperasi.

Penubuhan MMUK juga seiring dengan nafas baharu Mazda di arena antarabangsa melalui pengenalan pelbagai model yang menyumbang kepada pertumbuhan jualan.

 

Mazda RX-8 2003

 

Dengan penawaran Mazda3 dan Mazda2 serta RX-8, jualan Mazda di UK pada tahun 2004 mencecah 47,739 unit.

Pada tahun 2007 jualan lebih tinggi iaitu sebanyak 50,947 unit! Pengenalan SUV Mazda CX-5 pula kena pada masanya dengan jualan yang memberangsangkan.

Perjalanan sesebuah perniagaan ada cabaran tersendiri dan pada tahun-tahun kebelakangan ini Mazda terpaksa berdepan dengan Brexit (UK keluar dari EU), Covid-19 dan naik turun nilai matawang.

Namun apa yang jelas ialah MMUK kini sudah berusia 20 tahun, mempunyai 135 kakitangan dan 122 pengedar.

Dari segi prestasi pula, MMUK telah berjaya menjual 778,924 unit kenderaan di UK sejak tahun 2002.

 

Mazda 2021

 

Angka itu mungkin biasa untuk sebuah syarikat kenderaan gergasi namun tinggi buat syarikat seperti Mazda yang berdiri dengan sendiri.

Jelas di sini bahawa Mazda berpegang kepada pembelajaran, strategi, kepercayaan, ketekalan (consistency) dan semestinya model yang bersesuaian untuk pasaran.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sifirnya bukan rahsia iaitu rekaan yang menyerlah dan tidak bergantung secara mutlak kepada…
Berita Global
Ia memiliki sifat yang ringan dan kuat dalam masa yang sama, namun harus diingat gentian karbon…
Telah Diuji
Kalau diikutkan sejak CX-5 generasi kedua ini mula dilancarkan pada tahun 2017, sudah enam kali…