Najis burung - fakta atau mitos ia 'merbahaya' untuk cat kereta anda?

oleh HEZERI SAMSURI|
Kita sering diberitahu bahawa najis burung adalah perosak utama cat kenderaan kita tetapi apa yang selalu diterangkan ialah ia mempunyai kandungan asid yang tinggi.

Sebenarnya itu tidak benar kerana kandungan asid di dalam najis burung tidak begitu merosakkan lapisan cat pada kereta anda.

Menurut kajian syarikat pengilat kenderaan dari UK, Autoglym, cat kenderaan tidak ada masalah dengan asid ataupun alkali.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

Ujian-ujian simbahan campuran asid atau alkali cair mendapati tidak ada kerosakan ketara kepada lapisan cat kenderaan.

 

Apa yang menjadi masalah pada najis burung ialah proses penyejukan lapisan sampang atau lakuer (lacquer) yang mengembang dan mengeras di sekeliling najis burung pada permukaan kenderaan.

 

Autoglym mendapati apabila lakuer cat menjadi panas di bawah sinaran matahari, ia sebenarnya menjadi lembut sedikit dan mengembang.

 

 

Dalam masa yang sama, haba dari matahari mengeringkan najis burung yang ada pada permukaan yang sama.

 

Bila suhu menjadi sejuk (hujan atau malam), lapisan lakuer cat mengecut dan mengeras serta menjadi sebati di sekeliling najis burung.

 

Sebatian itu yang akan nampak buram (tidak berkilat) kerana permukaan di kawasan itu sudah tidak rata dan kurang memantulkan cahaya.

 

Penggunaan "wax" atau "polish" sebenarnya tidak begitu membantu dan lapisan "coating" silikon yang mahal itu pula akan memberikan sedikit perlindungan sementara.

 

Cuaca panas di Malaysia ini pula akan mempercepatkan proses pengeringan najis burung itu.

 

 

Cara terbaik ialah jangan parkir di kawasan yang diketahui banyak burung melakukan ujian sasar. Satu lagi ialah gunakan penutup kenderaan.

 

Namun begitu jika terpaksa, di bawah ialah antara cara-cara membersihkan najis burung dari permukaan kenderaan anda.

 

1. Untuk najis yang cair, ambil kain lembab dan lap najis itu secepat mungkin. Penggunaan tisu basah juga boleh tetapi ada pakar yang berkata tisu lebih kesat. Pada pendapat Careta, kalau tisu basah masih kesat dan mencalarkan kenderaan, dia mungkin mengecat keretanya menggunakan cat air jenama Buncho.

 

2. Jika najis burung itu dari jenis yang menggerutu dan berbiji serta sudah kering, ia adalah jenis najis yang paling degil. Ambil kain dan basahkan (basahkan kain, bukan benda lain). Letak kain lembab di atas najis itu dan biarkan selama 10 minit atau lebih. Bersihkan dengan lembut dan jangan menyental dengan terlalu kuat.

 

3. Selepas dibersihkan, lap hingga kering dan jika ada pengilat jenis semburan, sembur dan gilap.

 

Pastikan selepas anda bergelumang dengan najis burung itu, tangan anda perlu dibasuh dengan sabun dan kain yang digunakan dibasuh dengan pembunuh bakteria.

 

Najis burung boleh mengandungi bakteria dan fungus yang menyebabkan penyakit Histoplasmosis dan Cyrptococcosis yang boleh membunuh.