Pengurus Besar Operasi Terminal 1, KLIA, Abd. Hasman Abd. Muhimim berkata, penambahbaikan 14 inisiatif itu diharap memberikan keselesaan kepada penumpang khususnya sempena Kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dengan komitmen itu, MAHB berharap Sidang Kemuncak ASEAN akan menjadi lebih cemerlang selain kempen Melawat Malaysia 2026 akan memberi impak besar pada negara,” katanya pada pemberita di KLIA pada Isnin.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi penambahbaikan itu setakat ini.
“Kami sentiasa berbelanja bagi menaik taraf semua kemudahan di KLIA yang mana salah satu daripadanya bagi mengurangkan kesesakan di kawasan itu.
“Dengan peningkatan jumlah penumpang yang kita lihat, maka ia adalah penting bagi kami meningkatkan kapasiti terutama di pemeriksaan keselamatan di kaunter imigresen.
“Ia bagi mengelakkan penumpang beratur panjang selain mahu meningkatkan tahap kecekapan ketika bertugas,” jelasnya.
Dalam pada itu, penambahbaikan fasiliti yang dibuat di KLIA antara lain turut melibatkan penyediaan 36 lot parkir mesra keluarga selain penyediaan 50 kerusi roda percuma dan susunan semula kerusi penumpang di tingkat 5 KLIA.
Selain itu, sebanyak 80 buah tandas turut dinaik taraf bagi memberi lebih keselesaan kepada penumpang selain meningkatkan jumlah penumpang dari 770 kepada 1,569 per jam bagi pemeriksaan keselamatan terminal domestik.
Selain itu, terminal turut menampilkan elemen warisan menerusi laluan bertemakan warisan seperti Lorong Warisan Pulau Pinang dan Lorong Warisan Melaka.
Penambahbaikan turut melibatkan sistem panduan arah di kawasan aerostesen, bilik salin lampin bayi, serta prosedur keselamatan bagi penerbangan domestik.