Nahas Terowong Menora - Polis kesan pemandu kereta langgar ibu hamil

oleh Penyumbang Rencana|
foto dari tangkap layar video
Polis sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai telah terlanggar seorang ibu hamil di Kilometer 264 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Ahad lalu, bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata pihaknya bersama PLUS masih mengesan kenderaan berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan termasuk dakwaan berlakunya kecurian barang milik mangsa sewaktu kejadian terbabit yang tular dalam media sosial.

"Kita sebenarnya dalam siasatan lagi dan sedang mencari dia (pemandu), (dipercayai) bukanlah langgar lari mungkin dia (pemandu) tidak sempat nak mengelak.

"Jadi, kita dengan PLUS cuba nak tengok nombor plat kenderaan menerusi CCTV (kamera litar tertutup) dan perkara itu masih dalam siasatan kami," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya berharap pemandu kenderaan berkenaan tampil bagi membantu siasatan dan kenyataan media akan dikeluarkan apabila maklumat lengkap diperoleh.

Terdahulu, tular video kemalangan menunjukkan sebuah kenderaan melanggar Nur Fatihah Badrul Hisyam, 25, yang sebelum itu terbabit dalam kemalangan setelah kereta yang dinaiki bersama suami dan anaknya terbabas di lokasi kejadian.

Dalam video berkenaan dipercayai kelihatan sebuah kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti untuk memberikan bantuan, sebaliknya meneruskan perjalanan.

Dalam kejadian itu, mangsa serta bayi di dalam kandungan yang berusia lapan bulan dan seorang lagi anak mangsa berusia kira-kira dua tahun, Naira Falisya Abdul Rahman dilaporkan meninggal dunia.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, tindakan kumpulan terbabit boleh mengganggu ketenteraman awam selain mengancam…
Berita Domestik
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua lelaki tempatan…
Berita Domestik
"Kumpulan ini dikenali sebagai Geng Acu dan empat daripada lima lelaki terbabit secara langsung…