"Sebagaimana yang ditularkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kononnya akibat jalan berlubang tayar bas berkenaan pecah dan menyebabkan kemalangan itu. Saya ingin menyatakan tidak ada tayar yang pecah pun dan tidak ada jalan yang berlubang.
"Tidak wajar tularkan berita yang tidak benar dalam media sosial yang membangkitkan rasa tidak puas hati khususnya pada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang melaksanakan (kerja) membaiki jalan dan jalan itu ialah Jalan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek cerun di Sekolah Kebangsaan Tanghilan di Tuaran pada Selasa.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik.
Ahmad berkata, pemantauan terhadap jalan di lokasi kejadian juga mendapati terdapat papan tanda yang menyatakan ‘selekoh di hadapan adalah kawasan kemalangan’.
"Namun apa pun terjadi kita serahkan kepada pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan berkenaan. Kita tidak mahu tuduh menuduh terutamanya tentang teknikal,” katanya.
Bas yang disewa khas oleh pelajar terbabit berlepas dari Jertih, Terengganu pada jam 9 malam Ahad dan sedang dalam perjalanan ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak sebelum terlibat dalam kemalangan itu.
Beliau berkata, mengikut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 80 peratus daripada kemalangan yang berlaku di negara ini disebabkan oleh kecuaian pemandu.
"Sebanyak 13 peratus lagi berpunca daripada keadaan jalan, manakala tujuh peratus disebabkan masalah kenderaan,” katanya.