Nahas mat rempit, korban meningkat kepada empat

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang awal pagi tadi, meninggal dunia menjadikan keseluruhan empat maut akibat nahas terbabit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner (ACP) Soffian Santong berkata, mangsa keempatterbabit ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut ACP Soffian, tiga lagi masih dirawat di hospital, selepas sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan itu.
“Salah seorang mangsa, Mohd Haziq bin Harris, 34 tahun masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 tahun di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala.

“Sementara Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 tahun juga dirawat di zon kuning akibat kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka. Kesemua mangsa yang terbabit nahas ini  berasal dari Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Awal pagi tadi, tiga penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu maut di lokasi.

Mangsa yang maut ialah Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, iaitu kembar kepada Mohd Syazwan Hafiz.

Jelas ACP Soffian, polis menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan laluan di Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar itu pada pukul 4.30 pagi.

Katanya, kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram dan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh antara satu sama lain.

Beliau berkata, dalam kejadian itu dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan.

“Sebelum kejadian, pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut sudah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram itu.

“Perancangan bagi menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu juga sudah diatur sebelum berlaku kejadian," katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.