Beliau berkata konvoi sepatutnya menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat permotoran yang positif.
"Konvoi bukan untuk dijadikan medan menunjukkan keberanian atau kehebatan melalui tindakan yang membahayakan.
"JSPT memandang serius budaya tunggangan yang mengutamakan kelajuan, aksi berbahaya atau perlumbaan di jalan raya kerana ia jelas bertentangan dengan undang-undang serta mengancam keselamatan semua pengguna jalan raya," katanya kepada BH, pada Sabtu.
Mengulas beberapa rakaman video tular yang dipercayai memaparkan sebahagian peserta konvoi menunggang laju dan melakukan aksi berbahaya, Muhammed Hasbullah berkata tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat bukti berlaku kesalahan lalu lintas.
"Sekiranya terdapat bukti berlaku kesalahan seperti menunggang secara melulu, berlumba haram atau melakukan aksi yang membahayakan, JSPT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap individu berkenaan.
"Jalan raya adalah ruang awam yang perlu dikongsi secara bertanggungjawab oleh semua pihak," katanya.
Beliau berkata isu tunggangan melulu, perlumbaan haram dan aksi berbahaya sukar dibendung kerana bukan semata-mata berkaitan penguatkuasaan.
Katanya, isu itu turut berpunca daripada sikap, mentaliti dan budaya segelintir penunggang yang sengaja mengabaikan undang-undang demi kepuasan atau mendapatkan pengiktirafan dalam kalangan rakan.
"Walaupun JSPT dan agensi penguat kuasa lain sentiasa melaksanakan operasi secara berterusan, masih terdapat individu yang sanggup mengambil risiko tinggi dengan menunggang secara melulu, berlumba dan melakukan aksi berbahaya di lebuh raya.
"Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi jika tidak disokong kesedaran masyarakat serta peranan ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan dan komuniti dalam membentuk sikap bertanggungjawab terhadap keselamatan jalan raya," katanya.
Muhammed Hasbullah berkata perbuatan memecut pada kelajuan tinggi, menukar lorong secara mengejut atau menunggang secara berkumpulan tanpa kawalan memberi ancaman serius kepada pengguna jalan raya lain.
Tindakan sedemikian, katanya, boleh menyebabkan pengguna lain tidak sempat mengelak, sekali gus mencetuskan kemalangan berantai membabitkan banyak kenderaan.
"Dalam kejadian seperti yang berlaku di LPT pagi tadi, bukan sahaja nyawa penunggang motosikal terkorban, malah pengguna jalan raya lain turut berdepan risiko kecederaan, kerosakan harta benda dan trauma akibat kemalangan.
"Setiap pengguna perlu sedar tindakan tidak bertanggungjawab di jalan raya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa," katanya.
Beliau berkata pendekatan paling berkesan untuk menangani isu itu ialah menerusi gabungan penguatkuasaan konsisten, perundangan lebih berkesan, penggunaan teknologi dan pendidikan keselamatan jalan raya.
Katanya, usaha pendidikan dan advokasi juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat memahami risiko serta akibat daripada perbuatan berbahaya di jalan raya.
Mengulas cadangan mengehadkan atau melarang motosikal menggunakan lebuh raya, Muhammed Hasbullah berkata perkara itu perlu dikaji secara menyeluruh dan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa.
"Motosikal adalah antara mod pengangkutan utama rakyat Malaysia dan digunakan jutaan pengguna setiap hari untuk bekerja serta menjalankan urusan harian.
"Pendekatan lebih sesuai pada masa ini ialah memastikan tindakan penguatkuasaan disasarkan kepada individu yang melanggar undang-undang, bukannya menghukum keseluruhan komuniti penunggang motosikal yang mematuhi peraturan," katanya.
Beliau berkata sebarang cadangan dasar baharu pada masa hadapan perlu melalui kajian komprehensif dengan mengambil kira aspek keselamatan, keperluan pengguna dan impak ekonomi.
Katanya, pandangan semua pihak berkepentingan juga perlu diperoleh sebelum sebarang keputusan dibuat.