Nahas di Kapar - Pesawat melepasi berat pelepasan maksimum, 850 kilogram

oleh Penyumbang Rencana|
Gambar dari JBPM
Pesawat ringan Blackshape BK 160TR yang terhempas di ladang kelapa sawit pada 16 Februari lalu dan mengorbankan nyawa juruterbang bersama seorang penumpang, berkemungkinan besar pecah di udara.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan yang dikeluarkan pada Rabu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dalam insiden jam 1.45 tengah hari itu, juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan pembantu juruterbang, Roshaan Singh Raina, 43, maut selepas dipercayai terbenam bersama bahagian kokpit pesawat yang terjunam di kawasan ladang sawit di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi.

Menurut laporan itu, tidak mungkin mereka yang berada dalam pesawat boleh terselamat bersandarkan kepada impak junaman pesawat berkenaan

Laporan BSKU menyatakan, pesawat itu mempunyai larangan tidak terbang atau tidak dibenarkan terbang manakala jadual penyelenggaraan berkala didapati tidak teratur.

Malah, ada ketikanya penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik tidak bertauliah.

Menurut BSKU, arahan larangan terbang yang dikeluarkan sebelum ini adalah disebabkan pengilang ingin menyiasat punca masalah penunjuk aras minyak.

Wujud pertikaian terhadap pemilikan pesawat berkenaan, namun ia tidak mempengaruhi kelayakannya untuk terbang.

Laporan BSKU berkata, penyelenggaraan dikesan tidak teratur termasuk pemasangan bahagian pesawat tidak disahkan atau tidak mematuhi piawaian, serta pemasangan bahagian pesawat dan servis oleh individu tidak berkelayakan.

"Pemasangan tidak sah itu termasuk pengubahsuaian oleh juruterbang dan perkara ini masih disiasat untuk menentukan sama ada ia turut menjadi punca nahas," katanya.

"Ada bukti menunjukkan pesawat berkenaan melepasi berat pelepasan maksimum iaitu 850 kilogram," kata laporan itu.

Menurut BSKU, juruterbang pesawat berkenaan yang berusia 30 tahun, adalah tenaga pengajar di Kelab Penerbangan Air Adventure dan disahkan untuk mengajar pesawat Piper PA28 dan Cessna 172, tetapi bukan Blackshape BK 160TR.

Penumpang berusia 42 tahun itu adalah pelajarnya dan belum pernah menerbangkan Blackshape BK 160TR.

BSKU berkata, siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada faktor itu mempunyai kaitan dengan kemalangan.

 

Berita Harian