Menurutnya, siasatan mendapati pemandu kereta Toyota iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun hilang kawalan ketika sedang memandu di lorong kanan sambil menggunakan aplikasi pandu arah.
"Kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar pembahagi tengah jalan sebelum terlanggar belakang Perodua Myvi yang berada di lorong tengah.
"Impak pelanggaran menyebabkan beg udara terbuka dan menghalang pandangan pemandu hingga kenderaan beralih ke lorong kiri lalu melanggar sebuah motosikal dan Honda BRV," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Penunggang motosikal dan pembonceng, kedua-duanya lelaki tempatan berusia 32 tahun, kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Serdang dalam keadaan stabil.
"Kita sudah menjalankan ujian saringan air kencing dan paras alkohol ke atas pemandu Toyota Mark X dengan kedua-dua keputusan negatif.
"Kita juga sedang meneliti rakaman video membabitkan nahas dan buat masa ini kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya," katanya.
Kejadian kemalangan itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga net selepas beberapa rakaman video dan gambar termasuk rakaman kamera papan pemuka berhubung nahas itu tular di media sosial.