MyBikerz - Dari pegawai bank ke motosikal overland kustom!

oleh HEZERI SAMSURI|
Pertandingan Petronas Sprinta Contest yang sedang berlangsung sekarang hingga 30 September ini pasti membuatkan ramai berangan untuk memiliki motosikal-motosikal Yamaha yang diberi warna sama dengan pasukan MotoGP Petronas Yamaha SRT.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Yang ramai tidak tahu ialah motosikal-motosikal itu bukannya dibalut dengan pelekat atau menggunakan "wrap".

Kesemua motosikal yang menjadi habuan untuk Pertandingan Petronas Sprinta Contest itu sebenarnya akan dicat menggunakan cat berkualiti tinggi dan juga dilakukan oleh pakar cat kustom motosikal yang terkenal, Jimmy dari MyBikerz.

 

 

Careta turun ke MyBikerz di Taman Megan Sri Rampai, Setapak untuk bertemu dengan Jimmy atau nama sebenarnya, Rashimy Abd Rashid.

Berusia 44 tahun, anak jati Kuala Lumpur ini sebenarnya anak kepada pasangan anggota beruniform.

Ayah dan ibunya pernah bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan kerana itu, Jimmy mendapat pendidikan separa tenteranya di Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak, Melaka.

Selepas belajar, Jimmy memulakan hidupnya dengan bekerja di dalam industri perhotelan dan juga perniagaan runcit. Kemudian, Jimmy akhirnya mendapat pekerjaan dengan Bank Bumiputera Malaysia Berhad (yang kini dikenali sebagai Bank CIMB).

Selama 21 tahun Jimmy menimba pengalaman di bank tersebut, dan beliau pernah bertugas di dalam 21 jabatan. 

Jawatan terakhir Jimmy di bank tersebut ialah sebagai seorang pakar dalam sistem keselamatan CCTV, dan selepas itu, Jimmy mengambil keputusan untuk berhenti.

 

 

"Saya sudah lama pasang niat - untuk bersara dari bank pada umur 40 tahun. Jadi pada usia tersebut, saya berhenti," terang Jimmy.

Walaupun semasa bekerja dengan bank, Jimmy sudah mula menceburi dunia perniagaan, walaupun secara kecil-kecilan.

"Sebenarnya, minat meniaga saya bukan dari motosikal. Produk pertama yang saya jual dan berjaya ialah bekas pensel farbik bersulam," katanya sambil menunjukan "pencil case" tersebut (gambar di atas).

"Sepupu saya menjahitnya, dan saya jual melalui media sosial. Kemudian, saya tawarkan khidmat untuk menyulam nama pada bekas pensel itu dan ramai yang mahukan."

Suatu hari, Jimmy memikirkan di mana beliau boleh menyimpan alat-alat membaiki motosikalnya yang bersepah-sepah.

 

Jimmy staffers
Jimmy (belakang sekali) bersama pekerja-pekerja di MyBikerz sekarang, termasuk Peter Sage, pengembara dari Eropah yang bekerja untuk Jimmy sementara menanti untuk menyambungkan ekspedisi beliau.

 

"Saya ada set spanner dan screw driver dan saya hendak cari tempat untuk menyimpannya."

"Saya terpandang bekas pensel saya, dan saya gunakan ia untuk simpan alatan tersebut. Tak lama selepas itu, ramai pula yang mahukannya dan bekas pensel itu kini bertukar menjadi beg alatan (tool case) pula," cerita bakal ayah itu.

"Saya paparkan beg alatan itu di media sosial dan sekali lagi ramai pula yang mahukan juga! Tak menang tangan menjualnya!" 

Selepas berhenti dari bank pada tahun 2014, Jimmy membuka sebuah kedai kecil di Taman Nirwana, Ampang.

"Nak panggil kedai pun segan. Saya menumpang di dalam kedai basuh kereta sebenarnya. Dia berikan saya kedai papan 10 X 10 di situ. Itulah tapak pertama MyBikerz," Jimmy tersenyum mengimbau kenangan silamnya.

 

 

"Pada masa itu, sewanya RM500 dan saya menjual barangan seperti penapis minyak untuk motosikal Honda CB500 dan juga barangan Givi."

Menurutnya lagi, skil pemasangan Givi banyak dipelajari sendiri oleh kakitangan Givi yang banyak membantu seperti Ayie Harley di Givi HQ, Jalan Ipoh.

"Memang produk nombor satu saya masa itu ialah Givi box. Saya jual banyak Givi box dan juga plet pemegangnya."

Pengalaman Jimmy bersama Givi bermula apabila beliau mengembara dengan Honda Future ke Thailand, dan beliau memasang pannier Givi pada Hondanya itu (Jimmy juga adalah presiden pertama Kelab Honda Future Malaysia).

"Pada zaman itu, semua orang ketawakan saya kerana Honda Future saya ada panniers. Sekarang, banyak kapchai dah mula pasang panniers untuk berjalan jauh," ujar Jimmy.

Selain dari itu, Jimmy mula memasang soket kuasa (power socket) untuk motosikal-motosikal seperti kapchai dan sebagainya. Malah, beliau juga sudah mula memasang aksesori untuk motosikal BMW.

 

 

Kedai kedua MyBikerz pula ialah di Kampung Pandan Luar. Ia lebih besar tetapi masih menumpang di belakang kedai orang.

Jimmy mula serius di dalam kerjayanya. Selain dari menjual barangan Givi dan barangan lain, Jimmy juga mula menghasilkan "side-stand extender" atau tapak itik dari jenis besi stainless (gambar bawah).

"Tapak itik kami sangat popular kerana ia tak berkarat dan boleh diservis. Ia juga boleh dipasang pada lebih dari 30 jenis motosikal."

 

 

Di premis baharu itu juga Jimmy mula mengecat. 

"Pada masa saya kecil, arwah ayah memang peminat Alfa Romeo. Dia baiki sendiri kereta-kereta miliknya dan saya sering membantu. Mungkin dari situ, saya mendapat kemahiran membaiki jentera dan juga mengecat," Jimmy bercerita tentang asal-usul skilnya.

Kerja cat yang dilakukan oleh Jimmy mula mendapat perhatian ramai kerana kehalusan mutu kerja yang diberikan.

"Saya memang cerewet bab mengecat. Biar lambat, janji hasilnya berbaloi dengan nilai yang dibayar oleh pelanggan"

 

 

Selepas lama menumpang, Jimmy akhirnya dapat berpindah ke kedai baharunya di Setapak. Ia tidak lagi menumpang, dan nama MyBikerz terpampang besar di papan tanda kedai, bersama penyokong setianya sekarang, Petronas Sprinta.

Bengkel itu juga dilengkapi dengan kebuk untuk tempat cat agar mutu kerja Jimmy semakin baik.

"Untuk kerja mengecat motosikal pertandingan Petronas Sprinta Contest, saya akan memastikan motosikal-motosikal itu dibuka oleh mereka yang terlatih sahaja."

MyBikers kini mempunyai tiga pekerja sepenuh masa dan setiap dari mereka mempunyai kepakaran mereka masing-masing.

"Mereka yang hendak bekerja dengan MyBikers, memang akan lalui ujian membuka dan memasang fairing motosikal kerana kami hanya mahu yang berpengalaman sahaja."

 

 

Motosikal-motosikal Petronas Sprinta Contest itu akan menerima lapisan demi lapisan cat dan "lacquer".

"Ramai tak faham, kami perlu berhati-hati dengan lapisan-lapisan tersebut agar cat nampak dalam dan bercahaya. Dalam satu hari, saya hanya boleh cat tiga lapisan maksima. Jika dipaksa, cat akan nampak tidak sekata," terang Jimmy lagi.

Untuk pelekat atau sticker pada motosikal Petronas Sprinta itu, Jimmy akan meminta kontrektornya untuk menghasilkan sticker berkaitan dan kemudian datang ke tempat Jimmy untuk memasangnya juga.

"Kami mahu yang terbaik sahaja untuk motosikal-motosikal ini."

 

 

Kepercayaan Petronas kepada MyBikerz tidak pernah luntur dan MyBikerz juga diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan operasi Bengkel Servis Bergerak Petronas Sprinta (gambar atas).

"Kami sediakan semuanya, termasuk mekanik-mekanik terlatih untuk menjaga pusat servis bergerak itu," ujar Jimmy.

Alhamdulillah, bengkel MyBikers tidak putus-putus dihadiri oleh pemilik motosikal yang mahu menggunakan khidmat Jimmy untuk servis, untuk modifikasi, untuk memasang aksesori, untuk mengecat dan juga membuat pendawaian.

 

big names

 

Antara nama-nama besar yang pernah berkolaborasi dengan MyBikerz termasuklah penunggang-penunggang overland terkenal seperti Anita Yusof dan Mohd Alfishahrin.  

Tidak mengejutkan kerana Jimmy juga menimba ilmu dari Syed Abdul Hadi Hussein Al Atas, penunggang yang ke UK menaiki Modenas GT128.

 

MyBikers

 

Jimmy juga sebenarnya telah lama mewujudkan satu Page di Facebook: Kelab Sahabat MyBikerz di mana ahli-ahli Page itu berkongsi pendapat dan nasihat untuk penunggang-penunggang motosikal yang mahu berkelana ke seluruh dunia.

Page itu juga mendapat sambutan dari penunggang negara luar dan ramai yang menjadi sahabat baik Jimmy. Bengkelnya juga menjadi tempat simpanan untuk motosikal-motosikal pengembara overland yang berhenti berehat dan perlu satu tempat selamat untuk menyelenggara motosikal mereka dan untuk disimpan.

Antara pengembara asing yang kini menjadi sahabat dan juga membantu Jimmy di bengkelnya ialah Peter Sage, seorang pemuda dari Poland yang mengembara di sekitar Asia Tenggara dengan sebuah Yamaha FZ-150.

 

mybikerz page

 

Laman web MyBikerz juga kini turut mempunyai kemudahan untuk membeli barangan secara online.

Selain dari aksesori-aksesori motosikal seperti barangan Givi, Hella dan pelbagai lagi jenama, laman web itu juga menjual T-Shirt dan cenderahati dengan harga yang berpatutan.

Mungkin anda boleh melihat sendiri dengan melawat ke laman web MyBikerz di pautan ini.

 

 

 

Namun begitu tragedi menimpa Jimmy apabila ia terasa hendak pitam ketika menggunakan perkakasan pemotong kayu elektrik (power tool wood cutter).

"Saya hendak membuat ruang pengudaraan pada kebuk cat itu dan tiba-tiba saya terasa hendak pitam dan tangan saya terlepas pemotong tersebut," Jimmy menerangkan.

Pemotong yang berat itu terjatuh dan terkena hujung dua jari tangan dan bahagian lutut kaki kanannya.

Beliau dibawa ke hospital dengan ambulan dan bahagian jari Jimmy telah disambungkan kembali. 

Luka di bahagian lutut terbukti lebih serius dan sehingga hari ini, Jimmy tidak dapat beroperasi di kedainya seperti biasa.

"Saya berada di kedai sehari, duduk di rumah dua hari kerana sakit pada kaki saya," tunjuk Jimmy kepada kecederaannya.

Walaupun cedera, Jimmy masih mampu tersenyum dan bercerita kepada kami mengenai sejarah perniagaan beliau.

 

 

Kini, Jimmy perlukan lebih banyak projek untuk membantu perniagaannya kerana kos perubatan beliau yang tinggi dan juga beliau juga bakal mendapat cahaya mata yang pertama.

Namun begitu, Jimmy tidak mahu bantuan. Yang dipinta oleh beliau ialah agar lebih ramai pelanggan datang ke kedainya untuk memberikan syarikat beliau lebih banyak kerja.

Jadi sekiranya anda mahu motosikal anda dicat oleh seorang pakar seperti Jimmy MyBikerz (MY dalam Mybikerz itu sebenarnya dari namanya, Rashimy), anda boleh hubungi Jimmy sendiri melalui Whatsapp atau panggilan di 013-2121 900.

Selain dari itu, untuk mereka yang mempunyai masalah undang-undang dalam kes kemalangan motosikal atau apa-apa kes yang memerlukan nasihat pakar undang-undang, MyBikerz juga mampu membantu.

Beramal sambil mencantikkan motosikal kita, memang "win-win situation" bukan?