Garisan dan warna emas menaikkan seri motosikal dan pelana dibalut Alcantara. Plak bernombor (XXX/300) terpampang pada pemegang hendal yang nampak seperti objek seni.
Enjin 798 cc tiga silinder menghamburkan 160 kuasa kuda (hp) pada 13,500 rpm berbanding 147/155 hp hasil dari ekzos titanium Akrapovic yang dibangunkan khas untuk model ini.
Enjin F3 Competizione mematuhi piawaian Euro 5+ dan keluar dari bilik pameran dibekalkan ekzos yang sah untuk jalan raya.
Cekam assist and slipper MV Agusta baharu menawarkan prestasi lebih baik di litar dan jalan raya dan penunggang hanya perlu menarik 50 peratus tuil.
Bersama MV Agusta Electronically Assisted Shift, tukaran gear naik dan turun menjadi lebih lancar dan tepat.
Penggunaan titanium dan karbon menurunkan berat sebanyak tiga kilogram (kg). Berbanding RR, berat keseluruhan F3 Competizione 14 kg lebih ringan.
Dari segi aerodinamik, dapra dengan bilah bersepadu dibuat dari karbon tempa dan boleh menjana lapan kilogram daya mendap di depan pada kelajuan 240 km/j.
Pakej aerodinamik turut terdiri daripada penghadang angin perlumbaan warna gelap, sisi reraut gentian karbon dan reraut depan yang direka untuk mengoptimumkan aliran angin.
Aliran angin digunakan untuk penyejukan brek dan kawalan suhu enjin. Kesemua perkakasan aerodinamik dibuat dari gentian karbon dan tampil berseni.
F3 Competizione menggunakan unit kawalan elektronik (ECU) yang dipadan bersama IMU enam paksi.
Penunggang boleh memanfaatkan empat mod iaitu Rain, Sport, Race dan Custom selain lapan tahap untuk kawalan cengkaman (2 Rain, 3 Road, 3 Track).
Sistem Brek Anti-Kunci mempunyai dua mod iaitu Sport dan Race dan boleh dipadamkan di dalam keadaan tertentu.
Lagi sistem seperti Rear Wheel Lift-Up Mitigation (RLM), Front Lift Control (FLC) dan Kawalan Mula Pandu. LFC membantu pecutan 0 sehingga 100 kilometer sejam di bawah tiga saat.
Perkakasan casis F3 Competizion berbeza daripada RR dan boleh dilihat pada sepit udang Öhlins NIX30 dan Öhlins TTX 36 di belakang.
Peredam hendal mempunyai 19 larasan kedudukan. Pakej suspensi Öhlins mengurangkan berat sebanyak satu kilogram berbanding set standard F3 RR.
Satu lagi ciri istimewa adalah rim karbon khas untuk F3 Competizione yang mengurangkan berat tak berpegas dan berat sebanyak tiga kilogram berbanding rim aluminium F3 RR.
Angkup Brembo Stylema dipadan bersama cakera 320 milimeter (mm). Cakera belakang berukuran 220 mm.
Program diet diteruskan melalui bateri litium-ion dan menambah pengurangan berat sebanyak tiga kilogram.
Kit khas MV Agusta F3 Competizione:
- Set ekzos penuh Akrapovic
- Pelindung gentian karbon pada terminal ekzos
- Penutup tangki buatan CNC
- Penutup pelana gentian kaca
- Selimut khas
- Sijil ketulenan
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit Gambar @ MV Agusta