Mulakan projek kereta nasional ketiga sekarang sementara tiada pesaing dalam sektor kenderraan elektrik

oleh HEZERI SAMSURI|
Tan Sri Nadzmi Salleh, Pengerusi Eksekutif Nadicorp dan juga bekas Pengarah Urusan Proton 1993-1996 serta Pengerusi Proton 2009-2012 mengatakan kurangnya pesaing dari pasaran tempatan serta langkah awal boleh menjadi kelebihan utama untuk syarikat kenderaan nasional ketiga menghasilkan kenderaan elektrik (EV).

Menurut Nadzmi yang ditemuramah oleh Bernama, Malaysia tidak ketinggalan begitu jauh dalam teknologi EV kerana selain dari Tesla, syarikat-syarikat automotif lain masih tidak begitu maju dalam bidang itu.

Nadzmi menambah masalah utama untuk syarikat kenderaan melabur di dalam pembuatan kenderaan EV dalam skala besar ialah pelaburan yang telah dibuat untuk proses pengilangan kenderaan dengan enjin petrol/gas.

 

 

"EV juga kekurangan vendor-vendor untuk komponen berteknologi tinggi itu," sambungnya sambil mengingatkan bahawa vendor juga akan tidak berpuas hati kerana kenderaan EV tidak memerlukan komponen sebanyak kenderaan berenjin. EV juga tidak perlu diservis selalu.

Nadzmi turut yakin Malaysia mampu menghasilkan teknologi EV dan memberikan industri pertanian tempatan sebagai contoh.

"Kita tidak pernah ada getah dan kelapa sawit sebelum ini tetapi sekarang, kita adala antara pengeksport terbesar kedua hasil pertanian itu," jelasnya.

"Jika negara mahu maju di dalam EV, kita tidak boleh menunggu sehingga Malaysia mempunyai kemahiran tempatan di dalam EV. Kita perlu ambil tenaga pakar luar dalam proses permulaan industri itu," cadang Nadzmi.

 

 

"Kita boleh mulakan dengan kenderaan-kenderaan komersil seperti bas dan lori kerana ia tidak memerlukan jumlah yang banyak agar industri itu mula berkembang."

Seterusnya Nadzmi berkata negara perlu melihat teknologi EV dari sudut yang berbeza - seperti mod pengangkutan pertama dan akhir dalam sistem pengaangkutan awam.

Beliau merujuk kepada konsep "feeder system" di mana bas-bas kecil untuk membawa penumpang ke stesen keretapi/MRT/LRT/komuter dan pulang.

Kenderaan EV komersil lebih mudah dihasilkan. Ia tidak kompleks seperti kenderaan penumpang. Ia juga mempunyai ruang yang besar untuk mudah meletakan bateri.

 

 

Kerangka dan teknologi kenderaan komersil jauh lebih ringkas, memudahkan lagi untuk sebuah syarikat baharu.

Nadzmi menekankan lagi bahawa pakej penjualan adalah lebih penting dari kenderaan EV itu sendiri kerana untuk kenderaan komersil, pembelinya bukan pengguna biasa tetapi syarikat-syarikat yang mahu melihat keuntungan.

"Jika kenderaan komersil EV ini mempunyai kos pembelian, penyelenggaran dan operasi yang lebih rendah, pasti operator pengangkutan akan membelinya," kata Nadzmi lagi.

"Konsep perniagaan Perodua ialah yang terbaik kerana pasaran Malaysia kecil dan kos pembangunan produk boleh dikongsi antara Toyota dan Daihatsu. Perodua cuma perlu mengeluarkan kos yang kecil," cadang bekas Pengerusi Proton itu.

"Itu sahaja caranya kerana tidak mungkin sebuah syarikat automotif baharu boleh hidup di dalam pasaran sebesar Malaysia ini," sambungnya.

 

 

Nadzmi mengatakan ketika Perodua dimulakan, ia menerima perlindungan yang lebih baik dari Proton agar syarikat kenderaan nasional kedua itu boleh berdikari.

"Dari awal lagi Proton membawa cukai import dan duti eksais sedangkan Perodua tidak. Ini adalah kelebihan yang Perodua dapat untuk beberapa tahun," ujar Nadzmi (ini mungkin benar dahulu tetapi selepas itu Proton menerima lebih banyak bantuan dari segi geran dan pengecualian cukai-cukai selama puluhan tahun sehingga terpaksa dijual - Careta).

Cadangan Nadzmi memang logik kerana ia lebih memudahkan proses pembuatan serta merendahkan kos. Ia juga mempunyai risiko yang lebih rendah berbanding dengan pembuatan kenderaan penumpang yang lebih rumit. 

Menjual kenderaan penumpang juga jauh lebih sukar kerana pembeli yang berjiwa Dewa Cerewet di Malaysia, terutama jika ia berkaitan dengan jenama tempatan.

Nadzmi memang arif dengan pengangkutan tempatan kerana syarikat beliau, Nadicorp memiliki syarikat bas yang paling besar di dalam negara. Ia juga memiliki Badan Bas yang membuat badan untuk bas-bas awam.

 

 

 

Dari segi sejarah, Perdana Menteri kita tidak begitu berminat dengan kenderaan komersil. Proton sudah menghabiskan ratusan juta Ringgit dalam percubaan menghasilkan kenderaan elektrik tanpa hasil yang konkrit.

Proton juga telah cuba membantu universiti-universiti tempatan dengan memberikan kenderaan-kenderaan secara percuma untuk dijadikan bahan kajian kenderaan EV.

Geely mempunyai teknologi hybrid dan EV yang telah dibuktikan, namun tidak pernah berkata ia akan memberinya kepada Proton.

Apapun, Tun Mahathir Mohamed bukannya pemimpin biasa. Kita tunggu sahaja perjanjian yang bakal dimeterai dengan Geely dalam masa terdekat ini.

Add new comment

Careta Ad